Oleh Erdie Ab Wahid
Kota Kinabalu : Sabah menjadi negeri pertama di Malaysia melaksanakan sistem permohonan izin nikah dan pengesahan pernikahan secara digital sepenuhnya.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, sistem yang dikenali sebagai eKahwin itu merupakan inisiatif yang dibangunkan dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri Sabah.
Katanya, ia selaras dengan agenda kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah untuk menuju ke arah pentadbiran digital.
“Permohonan perkahwinan kini boleh dilaksanakan secara dalam talian seperti izin kahwin, pengesahan kahwin, surat nikah dan kad nikah boleh diurus dengan lebih cepat dan mudah tanpa perlu beratur panjang. Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak terlibat.
“Sabah adalah negeri pertama di Malaysia yang melaksanakan digitalisasi dalam izin nikah, pengesahan kahwin dan yang berkaitan. Sistem lama (manual) tidak lagi digunakan dan kita sudah berpindah ke sistem dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan sistem permohonan kebenaran untuk berkahwin dalam talian (eKahwin) dan sistem pembayatan FPX di Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) di sini pada Jumaat.
Hadir sama Yang Dipertua MUIS Datuk Seri Yahya Hussin; Timbalan Yang Dipertua MUIS Datuk Malai Ali Malai Ahmad dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Datuk Jumain Abdul Ghani.
Arifin yang juga Exco Pendidikan dan Agama Sabah berkata, pelaksanaan sistem itu bertujuan memudahkan urusan umat Islam di seluruh negeri selain mempercepat proses, serta mengurangkan kerenah birokrasi.

Terdahulu, ketika berucap, beliau berkata, seramai 1,782 bakal pengantin telah mendaftar sebagai pengguna sejak pelaksanaannya pada 1 Ogos lalu.
“Mereka kini tidak lagi perlu beratur di kaunter atau mengambil cuti kerja hanya untuk menghantar dokumen.
“Semua boleh dilakukan di hujung jari, kecuali kes-kes khas yang memerlukan penelitian lanjut seperti penentuan wali, pengesahan status nasab, atau dokumen pengenalan diri,” katanya. – Chronivo