Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga asing dijatuhi hukuman denda RM3,000 atau penjara tujuh bulan jika gagal membayar denda, selepas mengaku bersalah memiliki kad pengenalan milik orang lain tanpa kebenaran yang sah.
Tertuduh, Morsidi Selsido, 32, didakwa memiliki satu kad pengenalan tersebut pada 9 Ogos lalu sekitar jam 12.20 tengah hari di Balai Ketibaan 3, Aras 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (Domestik Dalam Sabah).
Tertuduh didakwa mengikut Peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Majistret Marilyn Kelvin dimaklumkan bahawa semasa bertugas di pintu pemeriksaan Balai Ketibaan 3, pengadu memeriksa tertuduh yang menunjukkan imej E-Boarding Pass digital dengan dua lokasi berbeza iaitu Tawau–Kota Kinabalu dan Sandakan–Kota Kinabalu.
Semakan lanjut oleh rakan sekerja pengadu mendapati pas masuk tersebut tiada dalam sistem dan disyaki palsu.
Pemeriksaan seterusnya menemukan MyKad milik orang lain dalam milikan tertuduh.
Susulan itu, pengadu mengesyaki tertuduh cuba menipu dengan menggunakan pas penerbangan palsu dan dokumen pengenalan bukan miliknya, sebelum membuat laporan polis.
Siasatan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melalui semakan dan perbandingan cap jari mendapati tiada padanan antara tertuduh dengan rekod kad pengenalan tersebut.
Semasa rayuan, Peguam Lim Ming Zoong @ Lawrence yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda minimum tanpa hukuman penjara.
Lim berkata, ini adalah kesalahan pertama, dan tertuduh hanya bekerja sebagai buruh kasar dengan pendapatan sekitar RM1,300 sebulan.
Menurut Lim, tertuduh yang menetap di Lahad Datu mendapat MyKad tersebut dari seorang ejen dengan bayaran RM3,000.
Inspektor Yusdi Basri, yang mengendalikan pendakwaan, memohon hukuman setimpal dikenakan.
Mahkamah juga memerintahkan tertuduh untuk dirujuk ke Jabatan Imigresen.