KUALA LUMPUR — Perkhidmatan kesihatan awam negara terus berdepan tekanan serius bukan sahaja dari segi infrastruktur dan fasiliti kesihatan yang tidak mencukupi terutamanya di kawasan luar bandar, tetapi lebih meruncing lagi ialah isu kekurangan petugas kesihatan.
Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor memaklumkan bahawa pembukaan Hospital Pasir Gudang (HPG) yang dijadual beroperasi secara berperingkat mulai 1 Ogos 2025 terpaksa ditangguhkan ke tahun hadapan, antara lain disebabkan kekurangan doktor dan jururawat.
Pengumuman itu mengejutkan memandangkan pada 29 Jun lalu, Menteri Kesihatan menyatakan HPG akan memulakan operasi fasa pertama pada tarikh tersebut melibatkan kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan perkhidmatannya, termasuk Kemalangan dan Kecemasan (A&E), Obstetrik dan Ginekologi (O&G), serta Pediatrik.
Menteri Kesihatan sebelum ini berkata HPG akan beroperasi sepenuhnya menjelang Julai 2026 dengan 1,845 petugas, namun setakat ini hanya 274 jawatan (15 peratus) telah diisi.
Dibina dengan kos RM500 juta, hospital 304 katil dan 14 perkhidmatan pakar itu merupakan hospital awam ketiga di Johor Bahru selepas Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Sultan Ismail, dan dijangka mengurangkan kadar penggunaan katil serta masa menunggu pembedahan elektif di negeri itu sehingga 30 peratus dalam tempoh dua tahun operasi penuh.
Penangguhan operasi itu menimbulkan persoalan mengenai perancangan dan koordinasi antara pembinaan hospital serta pengisian perjawatan, memandangkan situasi sama pernah berlaku pada Jun 2023 apabila dua wad dengan lebih 100 katil di Hospital Sultan Ismail tidak dapat digunakan akibat kekurangan tenaga kerja.
Minggu lalu, Menteri Kesihatan turut mendedahkan purata masa menunggu pembedahan elektif di hospital kerajaan mencecah sehingga 21 bulan, manakala pembedahan kes kecemasan dijalankan segera.
Setakat 31 Mac 2025, terdapat 157,285 petugas kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) termasuk 8,635 pakar perubatan, 38,955 pegawai perubatan dan 69,890 jururawat. Nisbah doktor berdaftar kepada penduduk pada Disember 2023 adalah 1:406, berbanding 1:758 pada 2012, manakala nisbah jururawat ialah 1:282.
Walaupun nisbah tersebut menunjukkan peningkatan, negeri seperti Sabah masih mencatat nisbah tertinggi iaitu 1:697 bagi doktor dan 1:417 bagi jururawat. Antara 2020 hingga 2024, lebih 9,000 petugas kesihatan meletak jawatan, termasuk 1,217 pakar, 5,702 pegawai perubatan dan 2,141 jururawat, menyebabkan ribuan kekosongan jawatan.
Bagi mengatasi kekurangan itu, KKM pada Februari lalu melonggarkan syarat kemasukan Diploma Kejururawatan daripada lima kredit kepada tiga kredit termasuk Bahasa Melayu, Matematik dan Sains. Namun, langkah itu menimbulkan kebimbangan berhubung kualiti perkhidmatan.
Selain itu, KKM melaksanakan inisiatif Rakan KKM yang membolehkan hospital awam menawarkan perkhidmatan kesihatan ‘ekonomi premium’ untuk menjana pendapatan tambahan petugas, namun ia turut mengundang kebimbangan akan mewujudkan “sistem dua darjat” dalam perkhidmatan awam.
Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, kerajaan membelanjakan jumlah besar bagi menaik taraf 2,215 klinik daif dan 255 projek hospital. Namun, pemerhati memberi amaran bahawa pembangunan fizikal tanpa pengisian tenaga kerja mencukupi hanya akan menjadikan fasiliti kesihatan sebagai “gajah putih”.
Amat malang sekali apabila aset bangunan dan kelengkapan sudah tersedia, tetapi aset modal insan pula tiada. Pesakit pun tiada.