Kota Kinabalu : Orang ramai khususnya pengguna media sosial diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir,13.
Pengerusi Smart Sabah Datuk Razali Razi berkata, pengguna media sosial perlu bijak menggunakan platform itu dalam menuntut keadilan bagi kes berkenaan yang kini tular dengan tanda pagar ‘Justice For Zara’.
Bagaimanapun katanya, ada segelintir pihak yang cuba meraih populariti melalui kejadian itu dan tindakan tersebut dianggap tidak wajar.
“Kita menghormati orang ramai khususnya pengguna media sosial yang menggunakan platform itu untuk mencari kejelasan dan keadilan. Tetapi jangan jadikan ia platform politik atau untuk menonjolkan diri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Bacaan Surah Yasin, Tahlil, Doa Kesejahteraan dan Solat Sunat Hajat di Masjid Al Munir Kampung Darau di sini pada Khamis.
Razali yang juga seorang peguam berkata, spekulasi tanpa bukti hanya menjejaskan semua pihak dan jalan terbaik untuk mencari kebenaran adalah melalui inkues
Oleh itu katanya, semua pihak perlu menunggu hasil inkues isu terbabit sebelum membuat sebarang kesimpulan.
Beliau berharap, dengan ada ketelusan, keterangan jelas dan keamanan ia mampu membawa keadilan kepada keluarga mangsa.
Dalam pada itu, Razali berkata, pentadbiran sekolah perlu menjadikan insiden ini sebagai pembuka mata untuk menilai semula sistem pencegahan buli yang sedia ada.
Katanya, sekiranya sistem longgar, langkah mengetatkan peraturan harus dilaksanakan segera.
Menurutnya, sokongan emosi kepada keluarga mangsa adalah perkara utama, sementara usaha mencari kebenaran harus berpandukan fakta sahih, bukan khabar angin. – Chronivo