Kota Kinabalu — Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Darau, Azhar Datuk Matussin membuat laporan polis berhubung dakwaan di media sosial yang mengaitkan anak perempuannya dengan kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.
Azhar menegaskan beliau tidak mempunyai anak perempuan bernama Dayana Balqis atau dikenali sebagai Dedeng, selain tidak pernah menghantar anaknya belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar.
“Sijil kelahiran yang dipaparkan dalam hantaran tersebut bukan milik anak saya. Semua butiran itu adalah palsu, direka dan boleh disahkan di mana-mana cawangan Jabatan Pendaftaran Negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook, Selasa.
Bekas Pembantu Menteri Perdagangan dan Perindustrian Negeri itu berkata, laporan polis dibuat bagi menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu yang mencipta dan menyebarkan dakwaan palsu itu, termasuk mereka yang berkongsi kandungan berkenaan di platform lain.
Beliau turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap hantaran di Facebook menggunakan nama “Forum Politik Sabah Suara Anak Sabah, Ini Sabah Bah (ISB)”, serta memaklumkan penasihat undang-undang telah mencadangkan tindakan mahkamah.
“Walaupun hantaran itu telah dipadam, kerosakan telah berlaku dan keselamatan anak perempuan saya kini terancam. Kita tahu majoriti rakyat Malaysia marah terhadap pembuli dan pembunuh yang terlibat dalam kes tersebut,” katanya.
Sementara itu, pada 8 Ogos lalu, seorang ahli keluarga bekas pelajar SMKA Tun Datu Mustapha turut membuat laporan polis di Lahad Datu mengenai dakwaan fitnah yang mengaitkan anak mereka dengan kes Zara Qairina.
Muhd Yassin berkata, anak perempuannya yang kini berusia 16 tahun berpindah ke Kolej Vokasional Lahad Datu (KVLD) pada awal 2025 selepas bersekolah di SMKA Tun Datu Mustapha dari 2022 hingga 2024.
“Kejadian yang menimpa Almarhumah Zara Qairina berlaku ketika anak saya tidak lagi bersekolah di situ. Tetapi gambarnya dikongsi dalam video di TikTok yang mendakwa dia pembunuh Zara. Video itu mendapat lebih 10,000 tontonan dan dipenuhi komen negatif terhadap anak kami,” katanya.