Lahad Datu : Sebanyak 1,495 ekor Tapak Sulaiman Mahkota Berduri (COT) berjaya dikutip dan dimusnahkan dalam program pembersihan khas selama tiga hari di perairan cadangan Taman Teluk Darvel, di sini baru-baru ini.
Program yang bertemakan COT Outbreak Clean-up Darvel Bay itu dijalankan selama tiga hari bermula 10 Julai lalu merupakan hasil kolaborasi Taman-Taman Sabah (TTS), Marine Research Foundation (MRF), Reef Check Malaysia (RCM), Jabatan Perikanan Sabah dan Polis Marin Lahad Datu.
TTS dalam satu kenyataan memaklumkan, pembersihan dijalankan di enam lokasi terpilih iaitu Pulau Burung, Dominic Reef, Pulau Tabawan, Pulau Silumpat, Blue Ring Reef dan Mid Reef.
“Kaedah ‘removal and burial ashore’ digunakan, di mana COT dikutip dan ditanam di Pulau Burung serta Pulau Tabawan bagi mengelakkan ia kembali ke habitat asal,” menurut kenyataan itu di sini.

Bagaimanapun, TTS memaklumkan, hasil pemantauan pasukan penyelam dan laporan daripada pengendali selaman Darvel Bay Diving menunjukkan populasi COT di kawasan itu masih tinggi.
“Oleh itu, pemantauan berterusan dan tindakan susulan perlu dilaksanakan segera bagi mengawal ancaman spesies ini terhadap ekosistem terumbu karang,” tambah kenyataan itu lagi
COT merupakan pemangsa semula jadi karang yang boleh memusnahkan ekosistem marin jika jumlahnya tidak dikawal, terutama di kawasan terumbu yang menjadi tarikan pelancong dan habitat pelbagai hidupan laut.- Chronivo / FOTO SABAH PARK