Kuala Lumpur: Sabah FC berjaya membawa pulang satu mata penting dalam perlawanan pembukaan Liga Super menentang Kuala Lumpur City FC meskipun beraksi dengan 10 pemain pada separuh masa pertama perlawanan.
Perlawanan yang berkesudahan seri 1-1 itu menyaksikan pasukan Sabah berdepan kesukaran seawal babak pertama apabila seorang pemain mereka dilayangkan kad merah, sekali gus memaksa pasukan bermain dengan kekurangan seorang pemain sehingga tamat permainan.
Penolong Ketua Jurulatih Sabah FC Alto Linus menyifatkan keputusan seri itu sebagai sesuatu yang positif, mengambil kira cabaran besar yang dihadapi pasukannya.
“Seperti yang saya katakan sebelum ini, bermain menentang KL City yang ada beberapa pemain berkualiti serta motivasi tinggi bukan tugas mudah.
“Tambahan pula apabila kami bermain dengan 10 orang. Tapi saya beri kredit penuh kepada semua pemain kerana bertarung habis-habisan untuk dapatkan satu mata,” katanya dalam siding media selepas perlawanan di sini malam tadi.
Ditanya sama ada kad merah tersebut mengganggu keseluruhan perancangan taktikal pasukan, beliau mengakui ia memberikan impak besar terhadap strategi permainan.
“Sudah tentu. Bila kita bermain dengan 10 orang, ia mengubah banyak perancangan. Namun pemain-pemain berjaya menyesuaikan diri dengan situasi dan terus beri komitmen.
“Di bilik persalinan, saya beritahu mereka, kita turun dengan sepuluh orang, jadi kena bekerja dua kali lebih keras. Perlawanan ini bukan mudah, dan mereka berjaya laksanakan tugas mereka,” katanya.
Sementara itu, mengenai pemain import Sabah Gabriel Perez yang dimasukkan sebagai pemain gantian dan berjaya menjaringkan gol penyamaan penting untuk Sabah, Alto berkata, pemain itu masih belum cergas sepenuhnya.
Katanya, kemasukannya adalah sebahagian daripada pelan pemulihan kecergasan.
“Kami beri dia 20 hingga 30 minit untuk bina semula match fitness. Tapi dia membuktikan kualitinya dan berjaya bantu pasukan dalam saat kritikal,” katanya.
Dalam pada itu, Alto berkata, Sabah FC meletakkan sasaran jelas untuk tidak tewas dalam lima perlawanan awal musim ini, sebagai langkah membina momentum.
“Itu sasaran kita dan juga kehendak pihak pengurusan. Kita akan usaha sebaik mungkin untuk capainya,” katanya. – Chronivo / FOTO SABAH FC