Tawau : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia berjaya menahan sebuah bot kargo tempatan yang sarat dengan muatan buah sawit selepas dikesan melanggar syarat sah lesen di perairan Wallace Bay malam semalam.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, bot tersebut dikesan pada kedudukan 2.1 batu nautika barat laut Muara Sungai Tongkang ketika rondaan Ops Pluto Timur, Ops Sejahtera dan Ops Tiris dijalankan kira-kira jam 8.20 malam.
Katanya, pemeriksaan awal ke atas bot kargo berkenaan mendapati, tiga lelaki warganegara masing-masing berusia 40 dan 66 tahun bertindak selaku nakhoda dan kru bot tersebut.
“Pemeriksaan dokumentasi bot tersebut telah mendapati salah seorang kru bot tersebut tidak mempunyai daftar nama pada lesen dan telah gagal memaklumkan pertukaran kru.
“Bot bersama juragan telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO 1952) kerana melanggar syarat sah lesen, ” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Beliau dalam pada itu berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemilik atau pengendali bot yang gagal mematuhi syarat lesen.

Katanya, komuniti maritim perlu sentiasa peka dan memastikan semua syarat lesen dipatuhi dan kegagalan berbuat demikian boleh membawa tindakan tegas.
Beliau turut berkata, Maritim Malaysia akan terus memperkasakan operasi penguatkuasaan di Zon Maritim Malaysia, khususnya di kawasan keselamatan perairan Timur Sabah (ESSZONE), bagi membanteras sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung salah laku jenayah maritim di perairan Tawau boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera,” katanya. – Chronivo / FOTO MARITIM MALAYSIA