Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) belum mendedahkan sebarang tindakan khusus terhadap pegawai perubatan yang didakwa gagal menjalankan proses bedah siasat dalam kes kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha membantu siasatan polis.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, keutamaan KKM pada masa ini adalah memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh dengan menghantar tiga pakar patologi forensik kanan termasuk Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang, Datuk Dr. Khairul Anuar, ke Sabah baru-baru ini.
“Bagi pihak KKM, kita telah memberikan komitmen yang serius. Kita telah menghantar tiga orang pakar patologi forensik terbaik. Ini ialah komitmen kami untuk menyelesaikan hingga ke akar umbi kes Zara.
“Selain itu, kita serahkan kepada PDRM,” katanya kepada pemberita di Hospital Tawau sempena lawatan kerja tiga hari ke Sabah yang berakhir hari ini.
Ketika diajukan soalan sama ada tindakan akan diambil terhadap pegawai perubatan terlibat, Dr. Dzulkefly tidak memberikan penjelasan lanjut dan hanya menegaskan bahawa KKM memberi sepenuh sokongan melalui penglibatan pakar forensik.
Allahyarhamah Zara Qairina, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapa Limauan, Papar, ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah pada kira-kira pukul 4 pagi, 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Kes itu kini berada di bawah siasatan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman selepas pasukan task force yang ditubuhkan pada 11 Ogos lalu mendapati berlaku ketidakpatuhan prosedur, termasuk kegagalan pegawai penyiasat memohon proses bedah siasat.