Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Tragedi menimpa sebuah keluarga apabila seorang wanita bersama anak lelakinya meninggal dunia dipercayai akibat keracunan makanan selepas menghadiri majlis kenduri kahwin di Kampung Batu 4, Jalan Apas, di sini.
Mangsa, wanita berusia 36 tahun dan anak sulungnya berusia sembilan tahun, dilaporkan mengalami cirit-birit dan muntah sebelum disahkan meninggal dunia pada Selasa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Champin Piuh berkata, laporan dibuat seorang wanita berusia 24 tahun yang memaklumkan bahawa ibu saudaranya dan anak lelaki mangsa meninggal dunia dipercayai selepas memakan hidangan dari majlis kenduri tersebut.
“Hasil siasatan mendapati kedua-dua mangsa hadir ke majlis kenduri pada Sabtu lalu dan membawa pulang makanan yang dibungkus untuk suaminya. Suami mangsa turut mengalami cirit-birit dan muntah sejak pagi Ahad hingga petang Isnin,” katanya dalam kenyataan, di sini semalam.
Menurut beliau, maklumat awal mendapati beberapa tetamu lain yang hadir ke majlis berkenaan turut mengalami simptom sama, namun, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut membantu siasatan polis.
Beliau berkata, pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah telah turun ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan, manakala kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Siasatan masih diteruskan termasuk mengambil keterangan saksi lain yang hadir pada majlis tersebut bagi mengenal pasti sekiranya mereka juga mengalami simptom sama,” jelas Champin.
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tawau untuk bedah siasat yang selesai dijalankan kira-kira jam 6.30 petang Selasa, dengan hasil awal mendapati tiada kesan kecederaan pada tubuh mangsa.