HomeUtamaDua ahli perniagaan mengaku tidak bersalah berhubung tuntutan palsu lebih RM3.6 juta

Dua ahli perniagaan mengaku tidak bersalah berhubung tuntutan palsu lebih RM3.6 juta

Read Time:2 Minute, 42 Second

Oleh J. Evachel John

Kota Kinabalu: Dua ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah terhadap pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berkaitan pembekalan mesin dan pensijilan bagi Program Bantuan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) bernilai lebih RM3.6 juta.

Tuntutan palsu itu didakwa telah dikemukakan kepada Jabatan Pembangunan dan Penyelidikan Perindustrian (DIDR) pada tahun 2022 dan 2023.

Tertuduh, Anita Mohamed, 54, dan Ang Ka Fat @ Kenny, 57, yang merupakan pasangan suami isteri, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Jason Juga.

Anita dan Ang masing-masing berdepan dua pertuduhan berasingan dan satu pertuduhan bersama.

Bagi pertuduhan pertama, Anita dan Ang masing-masing didakwa bersubahat dengan pengurus sebuah syarikat menyerahkan satu set dokumen bertraikh 11 November 2022 bersama 12 dokumen sokongan Delivery Order yang mengandungi butiran palsu, iaitu tuntutan perkhidmatan pensijilan MeSTI dan Halal dalam industri makanan untuk usahawan di bawah Program Bantuan IKS (BAIKS) Sabah 2022, termasuk kerja-kerja renovasi, bernilai RM500,000, sedangkan perkhidmatan itu tidak dilaksanakan.

Dokumen tersebut didakwa diserahkan kepada seorang pembantu tadbir dengan niat memperdayakan prinsipalnya, iaitu DIDR , pada 11 November 2022 di jabatan berkenaan.

Bagi pertuduhan kedua, Anita dan Ang masing-masing didakwa melakukan kesalahan sama dengan menyerahkan satu set dokumen bertarikh 10 Oktober 2023, bersama 45 dokumen sokongan Delivery Order yang mengandungi butiran palsu, iaitu tuntutan perkhidmatan pensijilan MeSTI, My Food Tag dan Halal dalam industri makanan untuk usahawan di bawah Program Bantuan IKS (BAIKS) Sabah 2023, termasuk kerja-kerja renovasi, bernilai RM2.7 juta, sedangkan perkhidmatan tersebut tidak dilaksanakan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 2 November 2023 di jabatan yang sama.

Kedua-dua pertuduhan ini dikemukakan mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dibaca bersama Seksyen 18 akta yang sama, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta berkenaan.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai butiran palsu atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan seterusnya, pasangan itu didakwa, dengan niat bersama, mengemukakan satu set dokumen invois sebuah syarikat lain bertarikh 7 November 2023, bersama 13 dokumen sokongan Delivery Order yang mengandungi butiran palsu.

Butiran tersebut melibatkan tuntutan pembekalan 11 unit Machine Retort 100 liter, dua unit Machine Retort 150 liter, pendaftaran dan kelulusan daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), ujian hidrostatik oleh JKKP, serta pendaftaran premis bagi 13 unit, bernilai RM414,400, sedangkan pembekalan itu tidak dilaksanakan.

Dokumen berkenaan turut diserahkan kepada pembantu tadbir yang sama pada 10 November 2023 di jabatan sama.

Bagi kesalahan ini, pasangan tersebut didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mahkamah menetapkan 23 September sebagai tarikh sebutan kes pra perbicaraan.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan deposit RM3,000 serta seorang penjamin tempatan bagi setiap tertuduh. Bagi pertuduhan bersama, jaminan juga ditetapkan sebanyak RM20,000 dengan deposit RM3,000 serta seorang penjamin tempatan.

Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan, termasuk melapor diri di pejabat SPRM setiap dua bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah, dan tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Tertuduh diwakili peguam Azhier Farhan Arisin, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Dzulkarnain Rousan Hasbi. – Chronivo

RELATED ARTICLES
EnglishUtama

‘Reckless, Dangerous and Disgusting’: Lawyers Hit Back at Shafie Over Zara...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular