HomeUtamaDaripada petani tradisional ke moden: Projek Fertigasi Cili bawa harapan baharu di...

Daripada petani tradisional ke moden: Projek Fertigasi Cili bawa harapan baharu di Kampung Kiau Nuluh

Read Time:2 Minute, 52 Second

Oleh Florieta Diet

Dari menanam secara tradisional dengan kaedah lama, kini petani Kampung Kiau Nuluh di Kota Belud beralih kepada sistem fertigasi moden yang memberi impak ekonomi dan pengetahuan baharu. Projek ini diusahakan oleh Persatuan Pembangunan Dusun Tindal dengan peruntukan dana RM50,000 di bawah Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI).

Projek Fertigasi Cili lebih teratur dan mudah diusahakan.
Sistem pengairan yang sistematik memudahkan proses penyiraman pokok cili.

Peningkatan Kemahiran dan Pengetahuan

Timbalan Pengerusi Persatuan, Scholastica Lanting, 30, berkata pelaksanaan projek fertigasi yang bermula awal tahun ini membuka peluang kepada peserta untuk menimba pengetahuan dan kemahiran dalam pertanian moden.

Scholastica

“Sebelum ini, peserta menanam cili menggunakan kaedah tradisional yang menghadkan produktiviti serta kawalan penyakit. Projek ini memberi mereka peluang untuk menjana pendapatan tambahan melalui hasil tanaman,” katanya.

Tambahnya, kesemua peserta terdiri daripada petani sepenuh masa dan separuh masa berumur 30 hingga 65 tahun, dengan latar belakang bertani secara tradisional.

Sebelum projek dimulakan, mereka mengikuti kursus teori dan amali sistem fertigasi di Bayu Farm, termasuk penyediaan tapak, pemasangan peralatan, penyediaan larutan baja, pemantauan pertumbuhan tanaman, kawalan penyakit, dan kaedah penuaian hasil.

Pelaksanaan Secara Bergotong-Royong
Scholastica menjelaskan bahawa projek itu dijalankan secara bergotong-royong dari awal penanaman, penuaian sehinggalah pemasaran.

Pada peringkat awal penanaman, peserta dibahagikan kepada empat kumpulan, setiap kumpulan terdiri daripada lima ahli.

Tugasan harian meliputi pemeriksaan dan penyelenggaraan dripper, penyediaan larutan baja mengikut sukatan, penuaian hasil tanaman, penyemburan racun serangga, pemeriksaan sistem solar, serta pemantauan paras air tangki.

“Walaupun fasa awal projek dianggap sebagai tempoh pembelajaran, peserta bersepakat untuk meneruskan projek ini. Sepanjang pelaksanaan, cabaran seperti kawalan penyakit tanaman, penyelenggaraan sistem, dan pengurusan hasil telah dihadapi. Selain cili, peserta turut mencadangkan mempelbagaikan tanaman seperti lada putih, halia, dan losun.

Sementara itu, Laura Lanting, 34, peserta projek tersebut berkata, sebelum ini para peserta kurang mendapat pendedahan tentang tanaman fertigasi dan hidroponik. Mereka hanya menumpukan kepada penanaman secara tradisional.

Program ini memberi pengalaman baharu yang berharga serta peluang menjana pendapatan sampingan selain daripada tanaman lain dan pekerjaan seperti menoreh getah atau menanam nanas.

Ilmu, Pengalaman, dan Pendapatan Sampingan
Katanya, melalui kursus penanaman fertigasi cili padi di Bayu Farm, peserta mempelajari proses penyediaan sistem fertigasi sebelum projek dilancarkan.

Pengalaman berharga ini membolehkan mereka memperoleh ilmu baharu, kemahiran praktikal dalam pertanian moden, serta menjadikan program ini sebagai sumber pendapatan sampingan.

Memperkukuh Hubungan, Kerjasama dan Harapan Masa Depan

“Kami melaksanakan projek secara bergotong-royong, masing-masing bertanggungjawab terhadap tugasan harian yang telah dijadualkan.

Melalui sistem penjadualan ini, peserta dapat mengeratkan hubungan tanpa mengira umur atau status, serta membentuk sikap kerjasama, keterbukaan, dan saling menghormati antara peserta yang berumur 30 hingga 65 tahun.

“Dengan pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh, saya sendiri bercadang untuk mengusahakan tanaman lain pada masa akan datang.

“Saya juga berharap Program Sejahtera Komuniti MADANI dapat diteruskan bagi membantu petani luar bandar seperti kami untuk meningkatkan pengetahuan pertanian moden dan menjana sumber pendapatan tambahan,” katanya.

Penghargaan dan Harapan Masa Depan

Bagi pihak semua peserta, setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada pihak kerajaan atas sokongan yang diberikan. Projek ini bukan sahaja memberi manfaat ekonomi, tetapi juga menjadi platform pembelajaran berharga bagi komuniti petani dalam mengadaptasi teknologi pertanian moden, sekali gus menyokong kelangsungan industri pertanian negara.

Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) adalah inisiatif Kerajaan MADANI yang bertujuan merancakkan ekonomi di peringkat komuniti dengan menyediakan dana sehingga RM100,000 kepada yang layak.

Program ini merangkumi beberapa bidang utama, termasuk pertanian dan pengeluaran makanan, jahitan dan kraf tangan, herba dan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti, serta aktiviti hijau dan kitar semula.

RELATED ARTICLES
Utama

Kenyataan Shafie Tentang Kes Zara Disifatkan Tidak Bertanggungjawab Dan Prejudis

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular