Kota Kinabalu : Sabah FC hari ini mengumumkan pelantikan jurulatih berpengalaman dari Australia, Jean-Paul de Marigny, sebagai Ketua Jurulatih baharu pasukan The Rhinos bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2025/2026.
Jean-Paul, atau lebih dikenali sebagai JP, memiliki rekod cemerlang dalam kancah Liga Australia dengan membimbing kelab ternama seperti Western Sydney Wanderers, Newcastle Jets, dan Melbourne Victory, yang muncul juara liga pada musim 2014/15 dan 2017/18.
Selain itu, beliau turut mempunyai pengalaman luas di peringkat antarabangsa, termasuk membimbing pelbagai peringkat umur pasukan kebangsaan Australia.
Terbaru, beliau bertugas sebagai Penolong Jurulatih kepada Brad Maloney bagi skuad kebangsaan Australia Bawah 17 tahun.
Pengurusan Sabah FC menyatakan keyakinan bahawa kehadiran JP akan memberi dimensi baharu kepada corak permainan dan prestasi pasukan.
“Selamat datang ke Sabah FC, Coach JP! Kami percaya pengalaman dan kepakaran beliau akan menjadi aset penting dalam mencapai sasaran pasukan musim ini,” menurut kenyataan itu di sini. – Chronivo