Tawau : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan sebuah bot kargo tempatan yang menyembunyikan muatan beras dan barang kawalan di bawah timbunan botol kosong di kedudukan 2.15 batu nautika selatan Batu 3 Tawau, sekitar jam 7 pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, dalam operasi yang dijalankan pihaknya telah berjaya mengesan pergerakan bot kargo tersebut sedang bergerak dari perairan Batu 3 Tawau menuju ke Pulau Sebatik.
Katanya, pemeriksaan awal mendapati, bot kargo tersebut dikendalikan oleh seorang juragan lelaki tempatan berusia 60 tahun bersama seorang pembantu juga lelaki pemegang pasport warga Indonesia berusia 58 tahun.
“Pemeriksaaan dokumentasi seterusnya mendapati, juragan gagal mengemukakan. sebarang permit berkaitan barang kawalan dan permit beras bagi muatan yang dibawa.
“Kedua-dua mereka seterusnya ditahan bersama bot kargo dan kesemua muatan diiring ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Ariffin berkata, hasil penggeledahan ke atas bot kargo tersebut telah menemukan, sejumlah 400 kampit beras dianggarkan seberat empat tan serta 27 gelen minyak petrol sekitar 700 kilogram di dalam bot kargo tersebut.
Katanya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994(Akta522).
Menurutnya, kesemua barangan termasuk bot kargo dan enjin bot disital dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM55,000.
Ariffin turut memaklumkan, siasatan juga akan dijalankan bagi melihat sekiranya terdapat unsur penyeludupan barangan tersebut ke negara jiran berikutan jumlah muatan yang dibawa dan pergerakan bot kargo tersebut dikesan beroperasi pada awal pagi bagi mengelakkan dari dikesan pihak berkuasa.
Katanya, Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang serta jenayah rentas sempadan di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE).
Menurutnya lagi, kerjasama dengan agensi-agensi lain dan orang awam akan terus diperkukuhkan demi memastikan undang-undang negara sentiasa dipatuhi.
Salurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 dan talian kecemasan 999 untuk tindakan segera. – Chronivo / FOTO MARITIM MALAYSIA