HomeUtamaLKM peruntukan RM550,000, galak syarikat perladangan Sabah tanam koko

LKM peruntukan RM550,000, galak syarikat perladangan Sabah tanam koko

Read Time:1 Minute, 25 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Lembaga Koko Malaysia (LKM) memperuntukkan RM550,000 bagi melaksanakan Program Libat Urus Galakan Tanaman Koko Sektor Perladangan di Wilayah Sabah, sebagai usaha menggalakkan syarikat perladangan mengusahakan tanaman koko secara komersial.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, program yang bermula tahun ini sehingga 2030 itu menawarkan bantuan anak benih koko berkualiti tinggi secara percuma, bimbingan teknikal, latihan amali, dan pemantauan berterusan kepada syarikat perladangan yang layak.

“Kita menyasarkan syarikat yang mempunyai lebih 40 hektar tanah untuk menanam koko. Peruntukan ini adalah khas untuk menggalakkan penyertaan mereka, kerana koko kini menawarkan potensi pulangan lumayan dengan harga dunia yang melonjak,” katanya.

Terdahulu, beliau merasmikan Program LIbat Urus Galakkan Tanaman Koko Sektor Perladangan Negeri Sabah yang turut dihadiri Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia, Datuk Dr. Ramlee Kassim.

Foong Hin memaklumkan, harga purata biji koko kering pada 2024 meningkat 141 peratus kepada RM24,274 satu tan metrik berbanding RM10,073 pada tahun sebelumnya.

Peningkatan ini, katanya, membuka peluang besar kepada sektor perladangan untuk mempelbagaikan tanaman dan mengurangkan risiko bergantung kepada satu komoditi sahaja.

Katanya, bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, penglibatan syarikat perladangan di Sabah merekodkan keluasan 89 hektar tanaman koko dan melalui program ini, syarikat terpilih akan menerima insentif 5,000 anak benih bernilai RM50,000 dan khidmat nasihat teknikal termasuk pembangunan nurseri dan sistem tanaman.

Dalam tempoh lima tahun, LKM menyasarkan keluasan tanaman koko sektor perladangan di seluruh negara meningkat kepada 2,750 hektar, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada import biji koko kering dari negara pengeluar utama seperti Ghana dan Ivory Coast.

“Jika bekalan luar terputus, kita masih ada bekalan tempatan. Ini adalah langkah strategik untuk memastikan industri koko negara kekal berdaya tahan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Kenyataan Shafie Tentang Kes Zara Disifatkan Tidak Bertanggungjawab Dan Prejudis

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular