HomeUtamaKes MBSB: Empat lagi individu termasuk pesakit lupus dipenjara tiga tahun enam...

Kes MBSB: Empat lagi individu termasuk pesakit lupus dipenjara tiga tahun enam bulan

Read Time:2 Minute, 52 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Empat individu, termasuk seorang pesakit lupus, dijatuhi hukuman penjara tiga tahun enam bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, kerana membantu kumpulan jenayah terancang dalam pengeluaran wang bank secara haram berjumlah RM24.2 juta.

Tertuduh ialah Josepin J. Langkan, 38; Nasir Abdul Rasid, 60; Vireonis Jonok, 35; dan Leong Hin Ping, 62, mengaku bersalah di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol terhadap pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 130W Kanun Keseksaan.

Mereka secara berasingan telah membantu kumpulan jenayah terancang bagi mencapai kepentingan kumpulan itu antara 26 April 2024 dan 10 Julai 2024 di cawangan bank MBSB, di sini.

Hukuman bagi kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan alternatif itu ditawarkan selepas pihak pendakwaan menerima surat representasi daripada pihak tertuduh.

Berdasarkan fakta kes, laporan polis dibuat pada 27 Jun 2024 berhubung risikan terhadap satu kumpulan jenayah terancang yang melakukan kegiatan pemalsuan kad pengenalan, penipuan dan pecah amanah jenayah.

Josepin, Nasir, Vireonis dan Leong ditahan di beberapa lokasi antara 28 Jun dan 12 Julai 2024.

Siasatan mendapati mereka membantu suatu kumpulan jenayah terancang dalam melakukan kesalahan pecah amanah jenayah oleh kerani atau orang gaji (by clerk or servant) dengan menggunakan dokumen cagaran berharga yang palsu (forged valuable security), iaitu kad pengenalan palsu, bagi mencapai kepentingan kumpulan jenayah terancang tersebut untuk memperoleh faedah material.

Melalui bantuan para tertuduh, kumpulan jenayah terancang ini telah berjaya membuat pengeluaran sejumlah wang yang besar daripada beberapa akaun simpanan tetap di MBSB Bank di Kota Kinabalu, Sabah dengan menggunakan kad pengenalan palsu.

Hasil siasatan juga mendapati kumpulan jenayah terancang yang dibantu oleh tertuduh telah terlibat dalam melakukan kes-kes kesalahan serius termasuk tiga di Manggatal dan satu di Tanjung Aru yang melibatkan transaksi pengeluaran wang daripada akaun simpanan tetap mencecah jutaan ringgit.

Kes-kes tersebut melibatkan kesalahan yang disiasat, antara lainnya di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 120B Kanun Keseksaan.

Josepin, Leong dan Vireonis diwakili oleh peguam Luke Ressa Balang, manakala Nasir diwakili oleh Dominic Chew.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul, Datuk Nazran Mohd Sham, dan Yazid Mustaqin Roslan mengendalikan pendakwaan.

Dalam rayuan hukuman, peguam Luke Ressa Balang dan Hairul Vaiyron Othman yang mewakili Josepin, Leong dan Vireonis serta Dominic Chew yang mewakili Nasir memohon hukuman ringan kerana mereka adalah pesalah pertama dan menyesali perbuatan mereka.

Luke turut memaklumkan bahawa Vireonis menghidap Systemic Lupus Erythematosus (SLE) atau Lupus dan hukuman penjara yang panjang akan menjejaskan kesihatannya secara serius.

Pihak pendakwaan pula antara lain meminta hukuman berbentuk pencegahan yang sesuai dengan mengambil kira kepentingan awam dan keseriusan kesalahan yang dilakukan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap.

Seorang lagi tertuduh, Mazlani Jenuary, 53, turut mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan, namun kesnya akan disebut semula pada 22 September untuk fakta kes dan hukuman.

Sementara itu, perbicaraan bagi Irene Chin Nyuk Thien, 38; dan Christina @ Caroline Pianus Etip, juga ditetapkan pada 22 September.

Mereka berdepan pertuduhan asal bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, iaitu menjadi ahli kumpulan jenayah terancang akan disebut pada tempoh dan lokasi yang sama.

Pada 13 Jun, tiga daripada 10 individu yang didakwa berhubung kumpulan jenayah terancang dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh hakim Mahkamah Tinggi yang sama.

Tertuduh ialah Subramaniam Thangavelu, 56, seorang guru; Sugumaran K. Ponniah, 56, bekerja sendiri; dan Hasran Magin, 46, seorang nelayan.

LINK BERITA TERDAHULU:
https://chronivo.my/2025/06/13/kes-mbsb-tiga-individu-bantu-kumpulan-jenayah-terancang-dipenjara-5-tahun/

RELATED ARTICLES
Utama

Kenyataan Shafie Tentang Kes Zara Disifatkan Tidak Bertanggungjawab Dan Prejudis

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular