Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi menetapkan 3 Oktober untuk keputusan permohonan semakan kehakiman berhubung permohonan semakan kehakiman berkaitan hak 40 peratus hasil negeri Sabah.
Bekas Presiden Sabah Law Society (SLS), Datuk Roger Chin berkata, tarikh tersebut ditetapkan dalam prosiding menerusi Zoom hari ini.
“Semakan kehakiman ini merupakan tindakan undang-undang yang bersejarah dan signifikan berkaitan hak perlembagaan Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan. Perkara ini telah menarik minat awam yang besar kerana ia menyentuh isu lama mengenai hak hasil dan autonomi fiskal bagi Negeri Sabah.
“Prosiding akan dijalankan secara terbuka, mencerminkan prinsip ketelusan dan akauntabiliti awam dalam pentadbiran keadilan,” katanya.
Pada 7 Julai lalu, Hakim Mahkamah Tinggi menetapkan 7 Ogos untuk semakan elektronik (e-review) bagi memberikan arahan lanjut dalam semakan kehakiman berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah.
LINK BERITA TERDAHULU: https://chronivo.my/2025/07/07/isu-hak-40-peratus-hasil-sabah-mahkamah-tetapkan-7-ogos-e-review/
Kemudiannya, pihak media dimaklumkan bahawa kes tersebut akan didengar melalui Zoom hari ini.
Pada Jun 2022, SLS memohon kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman terhadap Kerajaan Persekutuan. Permohonan itu dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi pada November 2022.
Kerajaan Persekutuan merayu ke Mahkamah Rayuan, namun pada Jun 2024, rayuan tersebut ditolak. Percubaan seterusnya untuk mendapat kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan juga ditolak pada Oktober 2024, sekali gus mengembalikan kes ini ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh.
SLS diwakili oleh peguam Jeyan Marimuttu; Kerajaan Persekutuan oleh Peguam Persekutuan Kanan (SFC) Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi; dan Kerajaan Negeri Sabah oleh Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Soh.