KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, menegaskan pembayaran RM1 bilion hutang kerajaan negeri pada 2019 bukanlah kejayaan pentadbiran Parti Warisan Sabah (Warisan), sebaliknya hasil perancangan berhemah dan simpanan sistematik pentadbiran terdahulu sejak 2014.
Beliau berkata, kenyataan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal, yang berulang kali menuntut kredit berhubung pembayaran itu adalah tidak tepat dan mengelirukan rakyat.
“Fakta yang tidak boleh dinafikan ialah pada Disember 2014, Bon Kerajaan Negeri Sabah (2014/2019) diterbitkan, dan Bank Negara Malaysia menetapkan syarat supaya kerajaan negeri menubuhkan Tabung Amanah Khas bagi memastikan bayaran balik hutang dibuat sepenuhnya apabila bon matang.
“Kerajaan negeri ketika itu mencarum RM200 juta setiap tahun ke dalam tabung tersebut selama lima tahun berturut-turut sehingga terkumpul RM1 bilion pada tahun 2019. Dana inilah yang digunakan untuk membayar penuh bon tersebut secara sekali gus tanpa menjejaskan kedudukan kewangan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nizam berkata, langkah menubuhkan Tabung Amanah Khas itu adalah strategi kewangan bijak yang dirangka sepenuhnya sebelum Warisan mengambil alih pentadbiran.
“Warisan hanya melaksanakan proses akhir pembayaran dengan menggunakan dana yang sudah tersedia hasil perancangan pentadbiran terdahulu. Rakyat Sabah berhak tahu siapa yang merancang, siapa yang bekerja, dan siapa pula yang sekadar menuntut kredit di atas usaha orang lain,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah berkata, kenyataannya itu dibuat bagi menyokong penjelasan Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun yang meluruskan fakta dan menolak sebarang naratif politik yang cuba memutarbelit sejarah demi kepentingan peribadi.