HomeMusicEnam artis, dua negara di Festival Tentang Cinta gegar Kota Kinabalu

Enam artis, dua negara di Festival Tentang Cinta gegar Kota Kinabalu

Read Time:1 Minute, 31 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Gabungan enam artis popular dari dua negara serumpun, Malaysia dan Indonesia, mencipta malam penuh emosi di Sabah International Convention Centre (SICC) menerusi konsert berskala besar bertemakan “Festival Tentang Cinta” yang berlangsung pada Ahad lepas.

Persembahan Hael Husaini yang tidak mengecewakan.
Persembahan Ara Johari.

Konsert eksklusif yang dianjurkan oleh EV Smart Venture Sdn Bhd ini menyatukan suara-suara hebat dalam satu persembahan yang bukan sahaja menghibur, tetapi turut menyentuh hati, meraikan cinta dalam pelbagai bentuk cinta sesama insan, keluarga, dan kehidupan.

Persembahan penutup dari Andmesh .

Dengan pengacaraan oleh figura tersohor Didie Alias, malam dibuka dengan tayangan visual dan muzik pre-event sebelum tirai rasmi disingkap oleh penyanyi berbakat dari Sabah, Mary Grace. Persembahan pembukaannya memberikan mood yang tepat untuk sebuah malam yang mengangkat tema cinta dalam pelbagai bentuk dan makna.

Barisan artis tempatan menyerlah sepanjang malam. Ara Johari tampil bertenaga dengan lagu-lagu seperti Bunga dan Menjaga Jodoh Orang Lain, diikuti oleh Hael Husaini yang mempesona menerusi Jampi, Hajat, dan Diam.

Sementara itu, Adira Suhaimi, yang juga berasal dari Sabah, menghidupkan suasana dengan balada popular seperti Ku Ada Kamu, Ombak Rindu, dan Ilusi, yang menyentuh emosi ramai penonton.

Peminat memenuhi dewan SICC.

Dari seberang, dua penyanyi tersohor Indonesia hadir menghangatkan lagi pentas. Ziva Magnolya memukau dengan vokal mantap menerusi lagu seperti Cukup, Terlukis Indah, dan Peri Cintaku, manakala Andmesh Kamaleng, sebagai artis penutup, menyampaikan lagu-lagu kegemaran ramai termasuk Kumau Dia, Jangan Rubah Takdirku, Cinta Luar Biasa, Ini Rindu dan Anugerah Terindah, menutup malam dengan penuh perasaan dan sorakan.

Konsert turut diselitkan dengan beberapa segmen ucapan penghargaan kepada penaja, penganjur, dan peminat, serta permainan mini yang menghiburkan, dikendalikan oleh Didie Alias.

“Festival Tentang Cinta” bukan sekadar konsert, tetapi perayaan muzik yang menyatukan dua budaya serumpun, membawa mesej kasih sayang, harapan dan keterhubungan melalui lagu-lagu yang dekat di hati.

RELATED ARTICLES

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular