Pagalungan : Sebanyak 14 perahu berhias menelusuri Sungai Pagalungan di sini sebagai simbolik menyambut kedatangan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG).
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dalam Bandar Nabawan Junaidi Banaran berkata, perahu-perahu tersebut datang dari tiga kampung antaranya Kampung Silungai, Tagol dan Salung.

“Perarakan 14 perahu berhias ini sinonim dengan keadaan di Pagalungan di mana perahu-perahu ini masih menjadi pengangkutan utama yang menghubungkan beberapa kampung di sini.
“Pada masa yang sama seramai enam orang beliawanis Pagalungan mempersembahkan Tarian Angalang yang merupakan tarian bangsa Murut di atas perahu berhias.
“Selain itu beberapa wakil masyarakat dari Kampung Silungai membawa hasil kraftangan mereka untuk dipamerkan kepada peserta KMJG” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media semasa Majlis Perasmian Kembara Merdeka Jalur Gemilang di Dewan Terbuka.

Junaidi berkata, sehingga kini penduduk di kawasan itu dianggarkan seramai 3,000 orang dan kebanyakan penduduk masih melakukan aktiviti pertanian sebagai sumber utama pendapatan.
Dalam majlis yang sama, Program Jualan Rahmah dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin.
Junaidi berkata, Program Jualan Rahmah ini sangat baik dalam membantu terutamanya kepada masyarakat luar bandar seperti di Pegalungan.
“Program sebegini sangat baik kerana harga yang ditawarkan sangat berbaloi dan memudahkan masyarakat kampung yang mempunyai kemudahan pengangkutan yang agak terhad seperti di sini,” katanya.
Dianggarkan seramai lebih 500 orang penduduk dari beberapa kampung sekitar Pagalungan datang membeli barang keperluan semasa jualan bermula.