Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus memperkukuh usaha menjamin kesejahteraan rakyat di kawasan pedalaman dengan memperuntukan RM202.5 juta bagi melaksanakan Program Pengedaran Barang Perlu (PDBP) bagi tempoh dua tahun.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Datuk Dr. Fuziah Salleh, berkata, peruntukan tersebut adalah bagi tempoh Mei 2025 hingga April 2027, dengan lebih RM8 juta disalurkan khusus untuk daerah Tawau.
“Sebanyak 607 POS di 228 kawasan pengedaran di seluruh negeri telah dikenal pasti, melibatkan hampir 492,566 penduduk, termasuk lebih 29,000 penduduk di Tawau.
“Di bawah seliaan KPDN Tawau, empat zon utama iaitu Sebatik, Balung, Kalabakan dan Apas menjadi lokasi tumpuan dengan 40 POS aktif, yang menerima bekalan bulanan,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.
Antara bekalan barangan yang dihantar mengikut kuota agihan ialah beras putih (94,605 kg), gula (23,888 kg), tepung gandum (10,041 kg), minyak masak sawit tulen (16,966 kg), LPG (5,800 tong), petrol RON95 (68,800 liter) dan diesel (77,200 liter).
Semalam, Fuziah mengadakan satu siri lawatan turun padang ke lokasi Point of Sales (POS) di Pulau Sebatik, Tawau bagi meninjau pelaksanaan program dan memastikan kelancaran pengedaran barangan keperluan di kawasan terbabit.
Program yang mula dilaksanakan sejak 2009 ini bertujuan menyediakan subsidi kepada syarikat pengangkutan terpilih bagi membawa tujuh barangan keperluan asas bersubsidi ke kawasan pedalaman dan pulau, sekaligus memastikan harga barangan kekal setara dengan kawasan bandar serta menjamin kestabilan bekalan.
Beliau berkata, kerajaan Madani sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat, khususnya mereka yang tinggal di kawasan yang berdepan cabaran logistik dan kos pengangkutan tinggi.
Fuziah menegaskan bahawa pelaksanaan program ini bukan sahaja menjamin harga yang berpatutan kepada pengguna, malah membantu membentuk rangkaian bekalan yang lebih kukuh dan berdaya tahan di kawasan terpencil.
“Kita menyeru kerjasama semua pihak pengangkut, pemborong dan pemimpin komuniti agar memastikan rantaian bekalan ini kekal lancar dan efisien,” ujarnya.