Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang membuat laporan polis palsu berhubung kehilangan kereta gara-gara takut dimarahi, dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau tujuh bulan penjara.
Hariff Nazwan Jasofa, 30, mengaku bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin.
Hariff mengaku memberi keterangan kepada seorang anggota polis bahawa sebuah kenderaan jenis Axia warna putih dalam simpanannya telah hilang, dengan niat menyebabkan penjawat awam itu mempercayai keterangan tersebut.
Kesalahan itu dilakukan pada 1 Julai lalu, jam lebih kurang 12.45 tengah hari, di Kaunter Aduan Awam Balai Polis Kota Kinabalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, anggota polis berkenaan membuat laporan pada 3 Ogos 2025 berkenaan hasil siasatan terhadap aduan tertuduh yang disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan. Siasatan mendapati tertuduh telah memberikan keterangan tidak benar ketika membuat laporan polis tersebut.
Hasil siasatan lanjut mendapati kenderaan Axia tersebut telah dirampas oleh pihak polis pada 19 Jun lalu, jam lebih kurang 12.10 pagi, di Lorong Ganang Villa 4, Kepayan, bersabit kes yang disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan bukannya hilang dicuri seperti dilaporkan oleh tertuduh.
Semasa siasatan, tertuduh mengaku membuat laporan palsu kerana risau dimarahi oleh pemilik kenderaan sebenar, iaitu makciknya.
Suspek bimbang jika makciknya mengetahui bahawa kenderaan itu telah digunakan oleh suspek bersama rakan-rakannya untuk melakukan kegiatan pecah rumah, sehingga kemudiannya dirampas oleh pihak polis.
Oleh sebab itu, suspek membuat laporan polis palsu agar pemilik sebenar beranggapan keretanya telah hilang dicuri ketika dipinjamkan kepadanya.
Inspektor Yusdi Basri mengendalikan pendakwaan.