Kota Kinabalu : Penjawat awam khususnya di Sabah yang berusia 40 tahun ke atas diingatkan agar menjalani pemeriksaan kesihatan berkala bagi mengesan dan mencegah penyakit pada peringkat awal.
Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Seri Rosli Isa berkata, langkah itu penting bagi memastikan penjawat awam kekal sihat, cergas dan mampu melaksanakan tugas dengan berkesan tanpa terjejas akibat masalah kesihatan.

“Kita tidak mahu penyakit menyerang lebih awal. Pemeriksaan berkala membolehkan masalah kesihatan dikesan dan dirawat segera, sekali gus mengurangkan risiko komplikasi,” katanya pada Majlis Penutupan Sukan Dwitahunan Jabatan Persekutuan Sabah, di sini pada Ahad.
Rosli berkata, kempen berpakaian sukan setiap Jumaat turut diperkenalkan bagi membudayakan gaya hidup sihat selain menggalakkan penyertaan dalam aktiviti riadah seperti gotong-royong dan sukan antara jabatan.
Beliau turut mengingatkan ketua jabatan supaya menggalakkan pegawai menyertai program itu kerana kesihatan adalah faktor utama produktiviti.
Mengenai kejohanan sukan, beliau memaklumkan ia akan dianjurkan secara tahunan selepas mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan hampir 2,000 orang dalam enam acara iaitu bola tampar, bola jaring, badminton, e-sukan, golf dan bola sepak.
Sementara itu, Pengurus Pasukan Bola Sepak Pasukan Gerakan Am Briged Sabah, ASP Marcel Lolli berpuas hati dengan pencapaian pasukannya yang muncul juara bola sepak dan berharap kejohanan itu diteruskan setiap tahun bagi meningkatkan kesihatan mental serta fizikal penjawat awam.