HomeUtamaMiliki MyPR palsu sejak 2007, warga asing didenda RM6,000

Miliki MyPR palsu sejak 2007, warga asing didenda RM6,000

Read Time:2 Minute, 12 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang warga asing yang
memiliki Kad Pengenalan bertaraf Pemastautin Tetap (MyPR) Palsu sejak tahun 2007 dijatuhi hukuman denda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret, hari ini.

Alex Alki, 61, yang mengaku bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin, juga berdepan tujuh bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Alex memiliki MyPR palsu tersebut pada 7 Ogos lalu jam 12 tengah hari di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Sabah tanpa kuasa sah.

Dia didakwa di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) dan boleh dihukum di bawah Peraturan-Peraturan yang sama.

Hukuman bagi kesalahan itu boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, semasa hari kejadian, tertuduh telah hadir ke Pintu Utama Depot Imigresen Kota Kinabalu untuk mendaftar sebagai pelawat bagi tujuan lawatan keluarga kepada seorang tahanan warga asing yang kini ditahan di depot berkenaan.

Tertuduh mengemukakan sekeping MyPR semasa pemeriksaan dokumen dibuat, namun kad pengenalan yang dikemukakan disyaki palsu dari segi fizikal dan ciri-ciri keselamatan.

Pegawai Imigresen telah merujuk kepada Komandan Depot dan setelah semakan lanjut mendapati kad pengenalan tersebut disyaki palsu.

Semakan lanjut oleh Bahagian Kad Pengenalan Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Sabah mendapati MyPR bernombor 701201-65-5373 atas nama Alex Alki ini tidak wujud dalam rekod Jabatan.

Kedua-dua cap ibu jari tertuduh tidak padan dengan mana-mana rekod Jabatan itu.

Tertuduh menyatakan memperolehi MyPR itu sekitar tahun 2007 di Daerah Penampang, Sabah daripada seseorang yang tidak dikenali.

Semasa rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam meminta hukuman ringan kerana mempunyai isteri dan anak.

Menurutnya, isteri dan anaknya sedang ditahan di rumah merah.

Pegawai pendakwa JPN, Mohd Naser Mohd Nadzeri, meminta hukuman berat dengan mengambil kira kepentingan awam dan keseriusan kes.

“Memiliki dokumen pengenalan diri palsu sebagai dokumen pengenalan diri adalah suatu tindakan yang salah dan tidak bertanggungjawab. Walau apa pun alasan yang dikemukakan untuk menghalalkan pemilikan kad pengenalan yang palsu ini adalah tidak relevan; dan

“Walaupun tertuduh telah mengaku bersalah atas tuduhan tersebut, adalah penting diingat bahawa tindakan ini telah menimbulkan kesan serius terhadap integriti sistem perundangan dan kepercayaan masyarakat terhadap kejujuran. Walaupun mengakui kesalahannya, tindakan tersebut tidak boleh dianggap remeh dan harus diberi perhatian serius oleh mahkamah. Kegagalan menegakkan hukuman yang setimpal akan memberi isyarat yang salah kepada masyarakat dan boleh memberi dorongan kepada orang lain untuk terlibat dalam aktiviti yang sama,” katanya.

Pihak pendakwaan juga memohon MyPR palsu itu dikembalikan untuk tindakan pelupusan oleh JPN Malaysia.

Mahkamah memerintahkan Alex dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas menjalani hukuman dan barang kes dilupuskan oleh pihak pendakwaan.

Difahamkan tertuduh gagal membayar denda.

RELATED ARTICLES
EnglishUtama

‘Reckless, Dangerous and Disgusting’: Lawyers Hit Back at Shafie Over Zara...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular