Kota Kinabalu : Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) menggesa orang ramai supaya tidak menyertai himpunan yang tular di media sosial kononnya bakal diadakan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha.
Pengarah JPNS Datuk Raisin Saidin berkata, sebarang perhimpunan di kawasan sekolah akan menjejaskan kelancaran sesi pembelajaran murid dan memberi kesan kepada emosi guru yang bertugas.
“Saya difahamkan terdapat gambar tular menyatakan bahawa himpunan tsunami bakal berlaku di hadapan SMKA Tun Datu Mustapha, justeru saya mohon supaya orang ramai tidak menyertainya.
“Ia akan menjadi gangguan kepada murid-murid di sekolah tersebut yang hadir setiap hari ke sekolah untuk belajar. Demikian juga kepada guru, semakin terjejas emosi mereka,” katanya ketika dihubungi Chronivo di sini pada Isnin.
Menurut Raisin, pihaknya sama sekali tidak bersetuju perhimpunan sedemikian diadakan kerana kes membabitkan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir,13, sudah berada dalam tindakan pihak berwajib.
“Selaku Pengarah Pendidikan Sabah, sudah tentu saya tidak mahu perkara sedemikian dilakukan. Sekali lagi saya menyeru orang ramai supaya tidak menghadiri perhimpunan berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut merayu orang ramai untuk tidak mengadakan perhimpunan di hadapan SMKA Tun Datu Mustapha atau memboikot sekolah berkenaan.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad, berkata warga kementerian termasuk menteri dan pengurusan tertinggi mahukan keadilan untuk adik Zara Qairina Mahathir.
Bagaimanapun, pada masa sama KPM merayu semua pihak memberikan keadilan yang sama kepada pelajar dan guru di sekolah terbabit dengan dan menjaga emosi serta psikologi mereka.
“Saya percaya pihak berkuasa akan melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sebaik mungkin dan kami di peringkat KPM, menteri sendiri akan memberikan sokongan penuh,” katanya selepas Majlis Apresiasi Guru Madani dan Penyerahan BAP Tingkatan 6, di sini, pada Isnin.
Menurutnya, KPM turut merayu orang ramai mengelakkan melakukan perkara yang negatif kepada sekolah itu seperti berdemonstrasi di hadapan sekolah. – Chronivo