Putatan: Ahli Dewan Undangan Negeri Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob menegaskan semua pelajar, sama ada cemerlang atau sebaliknya, perlu diperjuangkan hak mereka untuk berjaya.
Katanya, pelajar yang mendapat keputusan cemerlang berpeluang melanjutkan pelajaran di universiti.
Menurutnya, pelajar yang tidak menonjol dalam akademik digalakkan meneroka bidang kemahiran melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan memilih program yang mempunyai keperluan tinggi dalam industri tempatan.
“Sesuai dengan Sipitang melalui Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), sudah tentu ada keperluan pekerjaan berasaskan kemahiran di syarikat-syarikat yang beroperasi di SOGIP.
“Begitu juga dengan keperluan kemahiran lain perlu diceburi anak-anak muda seperti berkaitan penghawa dingin, membaiki kereta dan keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Apresiasi dan Kecemerlangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengiran Omar di Salah sebuah hotel di sini, semalam.
Dr Yusof yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad berkata, peluang pekerjaan dan ekonomi yang wujud di SOGIP harus dimanfaatkan oleh penduduk tempatan.
Menurutnya, peluang ekonomi yang wujud ini menerusi pertambahan penduduk di Sipitang menerusi tenaga kerja mahir dari luar yang akan bekerja di SOGIP.
Katanya, peluang ekonomi in antara lain meliputi pusat penginapan, rumah sewa, kedai makanan dan barang keperluan kering dan basah.
“Saya mahu penduduk Sipitang merebut peluang ini dan meninggalkan budaya menunggu peluang datang tanpa usaha, kerana sikap itu akan menyebabkan peluang ekonomi dan pekerjaan direbut oleh pihak luar,” katanya. – Chronivo