Cyberjaya : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan terhadap penyebaran kandungan di media sosial berkaitan kes Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan, kandungan tersebut dipercayai mengandungi maklumat palsu dan bersifat 3R (Kaum, Agama dan Institusi Diraja) dan dikhuatiri boleh mencetuskan kekeliruan awam, selain menjejaskan kelancaran proses siasatan pihak berkuasa.
Menurut MCMC, bagi membantu siasatan, individu terbabit telah dipanggil untuk sesi rakaman keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras pada Sabtu.
“Seunit telefon bimbit dan satu keping kad SIM telah disita untuk membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan,” menurut kenyataan itu di sini pada Ahad.
MCMC mengingatkan orang ramai agar memberi ruang kepada proses siasatan yang sedang dijalankan dan berhati-hati dengan sebarang kandungan spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan awam.
Penyebaran maklumat yang belum disahkan bukan sahaja berisiko mengguris hati keluarga mangsa, malah bercanggah dengan nilai etika dan boleh mengganggu proses keadilan. – Chronivo / FOTO MCMC