Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Bagi lima jurufoto dari kepulauan Borneo, penyertaan mereka dalam Kepri Photo Community Gathering di Batam baru-baru ini bukan sekadar peluang berkarya, tetapi juga ruang untuk memperkenalkan negeri kelahiran mereka, Sabah dan Sarawak.

Lano Lan (NSTP) dan Muslianshah Masri (jurufoto bebas dari Tawau) mewakili negeri di bawah bayu, manakala Zulazhar Sheblee (The Star), Herry Naha (jurufoto bebas) dan Bani Hasyim (jurufoto landskap) membawa nama bumi kenyalang.
Acara yang berlangsung dari 14 hingga 16 Julai itu menghimpunkan lebih 100 jurufoto dari seluruh Asia Tenggara, dengan sokongan penuh Gabenor Kepulauan Riau (Kepri), Ansar Ahmad. Ia menjadi pentas mempamerkan keindahan dan kepelbagaian budaya rantau ini melalui lensa.
“Ramai mengenali Kuala Lumpur atau Johor, tetapi belum biasa dengan Sabah dan Sarawak. Ada yang menyangka ‘Kota Kinabalu’ cuma ‘Kinabalu’. Kami jelaskan bahawa itu memang nama penuh,” kata Muslianshah.
Lano yang berasal dari Kiulu pula menyifatkan program itu sebagai jambatan budaya.
“Melalui sesi penggambaran di lokasi warisan dan perbualan santai, kami bukan sahaja merakam tempat dan wajah, tetapi turut berkongsi cerita dan identiti masing-masing,” katanya.

Selain sesi rasmi, Lano berpeluang melawat Tanjung Pinang dan Pulau Penyengat, lokasi bersejarah yang pernah menjadi pusat Kesultanan Melayu Riau-Lingga dan kediaman tokoh bahasa Melayu, Raja Ali Haji. Lawatan itu dikendalikan oleh pegawai kanan pelancongan Tanjung Pinang, Edy Harmoko, yang menyampaikan naratif sejarah pulau berkenaan dengan penuh semangat.
Sepanjang program, peserta turut dibawa ke beberapa lokasi utama sekitar Batam dan pulau berdekatan seperti Pulau Belakang Padang, dikenali sebagai Pulau Penawar Rindu, yang terletak hanya 15 kilometer dari Singapura.
Di pulau ini, jurufoto merakamkan suasana harian dari pasar, kedai gunting rambut tradisional, hingga pelajar sekolah menaiki bot untuk ke darjah, dengan latar belakang bangunan Singapura di kejauhan.
Majlis pembukaan turut diserikan dengan persembahan gasing dan silat, dua elemen warisan budaya Melayu yang terus dipelihara.
Kembali ke Batam, mereka meneruskan penggambaran di lokasi bersejarah termasuk Vihara Budhi Bhakti tokong Buddha tertua di bandar itu, serta Masjid Muhammad Cheng Hoo yang menampilkan seni bina gabungan Cina-Islam.
Hari kedua menyaksikan sesi penggambaran bermula seawal pagi hingga ke petang, termasuk di Jambatan Barelang, simbol ikonik Batam. Di sinilah Zulazhar Sheblee merakam imej seorang nelayan melontar jala sewaktu matahari terbit, imej yang kemudiannya meraih tempat kedua dalam pertandingan foto yang diadakan sepanjang acara.
Kemuncak acara menyaksikan semua lima wakil Malaysia Borneo tersenarai dalam 30 foto terbaik, dengan Zulazhar membawa pulang plak penghargaan dan hadiah wang tunai tiga juta rupiah, sekali gus mengangkat nama Malaysia Borneo di pentas fotografi serantau.