Oleh Erdie Ab Wahid
Tuaran : Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor meminta orang ramai agar tidak membuat pelbagai andaian berhubung insiden melibatkan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir,13, sebelum siasatan pihak berkuasa selesai.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut menzahirkan rasa simpati terhadap insiden berkenaan dan memahami kesedihan dan keprihatinan masyarakat.
Bagaimanapun, Hajiji berkata, semua pihak perlu memberi ruang kepada proses undang-undang untuk dijalankan sebaik mungkin.
“Sebenarnya kita amat simpati, kerajaan negeri amat simpati dengan kejadian yang berlaku. Tetapi kita janganlah membuat andaian bermacam-macam sekarang ini.
“Kita tunggu proses undang-undang berjalan sebaik mungkin dan selepas itu kita akan tahu apa puncanya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis perasmian Festival Kebudayaan Rumpun Bajausamah di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausamah di Lok Batik, di sini pada Ahad.
Majlis itu turut disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman dan turut dihadiri bersama isteri Toh Puan Faridah Tussin.
Hajiji turut menegaskan, setakat ini terdapat pelbagai andaian yang dilihat tidak tepat dan berpotensi mengelirukan orang ramai.
“Kita beri kepercayaan kepada pihak polis untuk menyiasat dan nanti akan diumumkan hasil siasatan setelah selesai,” katanya.
Orang ramai turut diingatkan untuk tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan proses siasatan dan mengganggu perasaan keluarga mangsa. – Chronivo