KOTA KINABALU, 10 Ogos – Proses bedah siasat terhadap pelajar, Zara Qairina, yang meninggal dunia baru-baru ini, akan dijalankan di Hospital Queen Elizabeth II dengan penglibatan pakar forensik dari Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.
Peguam keluarga, Hamid Ismail, berkata sebelum proses bermula, pakar forensik Dr. Jessie Hiu memberi penerangan kepada ibu mangsa mengenai prosedur berkenaan dan proses berkenaan turut melibatkan Dr. Khairul Anwar, pakar perunding patologi forensik dari Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, yang dijangka tiba sekitar jam 11.30 pagi.
“Bedah siasat akan dilakukan oleh Dr. Jessy bersama Dr. Khairul Anwar dengan bantuan dua pegawai lain. Proses ini dijangka mengambil masa yang panjang, mungkin antara empat hingga lima jam,” katanya ketika ditemui di perkarangan hospital.
Mengulas kehadiran pakar forensik dari Hospital Serdang, Hamid berkata beliau percaya pihak polis mahu memastikan semua elemen keadilan dipenuhi bagi kes Zara Qairina dan mengelakkan sebarang tuduhan tidak berasas.
Menurutnya, selepas proses selesai, Dr. Jessy akan memberikan penerangan awal kepada keluarga mangsa sebelum mayat dibawa pulang ke Sipitang oleh pihak polis untuk pengebumian semula.
“Semasa proses, seorang peguam yang mewakili keluarga, Encik Shahlan, akan berada di dalam bilik pemeriksaan bagi pihak keluarga,” katanya.
Hamid menjelaskan bahawa laporan awal bedah siasat akan dimaklumkan oleh pasukan perubatan, dan mereka mungkin memberikan sedikit maklumat awal pada hari yang sama.
Beliau turut menyeru orang ramai agar bertenang dan terus berdoa supaya keadilan dapat ditegakkan buat Zara Qairina.
“Setakat ini, saya difahamkan pihak polis mengambil langkah yang sangat teliti bagi memastikan siasatan berjalan dengan rapi,” katanya.