HomeUtamaBedah Siasat Zara dilakukan Secara Telus, Tiada VVIP Masuk – Peguam

Bedah Siasat Zara dilakukan Secara Telus, Tiada VVIP Masuk – Peguam

Read Time:1 Minute, 35 Second

KOTA KINABALU,- Peguam keluarga Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, Shahlan Jufri, menegaskan tiada individu kenamaan (VVIP) memasuki bilik bedah siasat semasa proses pemeriksaan dijalankan, sekali gus menolak dakwaan liar yang tular di media sosial.

“Saya sahkan tiada VVIP masuk ke dalam bilik bedah siasat. Yang ada hanyalah wakil keluarga, doktor, dan pihak polis. VVIP memang tiada. Tiada unsur ‘tangan ghaib’ seperti yang diperkatakan di media sosial. Bedah siasat berjalan dengan telus. Jangan percaya kepada spekulasi di media sosial,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I (QEH) malam tadi.

Menurut Shahlan, beliau sendiri berada di dalam bilik bedah siasat dari awal hingga akhir proses, iaitu dari kira-kira jam 11 pagi hingga 7.30 malam, tanpa keluar walau sekali.

“Saya menyaksikan sendiri setiap prosedur yang dijalankan pasukan forensik. Pemeriksaan dibuat dengan penuh teliti; setiap kecederaan dinilai satu persatu dan saya dipanggil untuk diberi penjelasan apabila sesuatu penemuan dibuat,” jelasnya.

Tambah beliau, laporan bedah siasat mengambil masa untuk disiapkan dan merupakan dokumen sulit yang hanya akan didedahkan di mahkamah sekiranya inkues diadakan. Katanya, keluarga Zara berkemungkinan besar akan memohon supaya inkues dijalankan selepas siasatan polis selesai.

Shahlan turut menasihati orang ramai agar tidak mempercayai laporan atau hantaran di media sosial yang membuat tuduhan berbentuk spekulasi, termasuk dakwaan tidak berasas seperti penggunaan mesin basuh.

“Bagaimana kita tidak mahu Zara difitnah kononnya begini dan begitu sehingga meninggal dunia, begitu juga kita tidak mahu memfitnah orang lain. Saya difahamkan suspek yang menyebarkan cerita tersebut telah ditangkap, malah ibu bapa yang gambar anak mereka turut disebarkan walaupun tidak terlibat, juga telah membuat laporan polis,” ujarnya.

Selepas proses bedah siasat, jenazah Zara dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Sipitang.

Zara, pelajar Tingkatan 1 sebuah sekolah agama di Papar, meninggal dunia pada 17 Julai lalu. Kejadian itu mendapat perhatian meluas selepas dikaitkan dengan kes buli yang didakwa melibatkan anak kenamaan, sekali gus mencetuskan desakan orang ramai agar keadilan ditegakkan.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular