Oleh J. Evachel John
PAPAR: Mahkamah Majistret hari ini membenarkan permohonan pihak polis untuk menggali kubur Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
“Permohonan diluluskan dan kami sekarang bergerak ke Sipitang untuk tujuan gali kubur.
“Doakan perjalanan semua perkara dimudahkan Allah SWT,” kata peguam Hamid Ismail ketika dihubungi Chronivo.
Menurutnya proses penggalian akan dibuat di Tanah Perkuburan Tanjung Ubi, Mesapol di Sipitang.
Pendengaran permohonan itu dibuat di IPD Papar di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa secara dalam talian.
Difahamkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan pejabat mufti akan memantau proses tersebut dan memastikan jenazah arwah Zara dimuliakan sewajarnya.
Zara, pelajar Tingkatan 1 di sebuah sekolah agama di Papar, Sabah, ditemui tidak sedarkan diri selepas didakwa jatuh dari bangunan asrama. Dia disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) pada jam 1.07 petang, 17 Julai.
Kejadian itu tular di media sosial susulan dakwaan kejadian buli yang mengaitkan anak menteri, VIP dan individu berpengaruh dengan kematian pelajar terbabit, sekali gus mengundang pelbagai reaksi netizen.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dalam sidang media pada 31 Julai lalu, juga memaklumkan pihak polis tidak menolak kemungkinan unsur buli terbabit dalam kejadian berkenaan.
Terdahulu pasukan guaman merayu kepada Peguam Negara supaya memulangkan semula kertas siasatan kepada pihak polis bagi membolehkan siasatan kes itu dibuka semula.
Dalam satu kenyataan rasmi pada 5 Ogos 2025 pasukan guaman merayu kepada Peguam Negara supaya memulangkan semula kertas siasatan kepada pihak polis bagi membolehkan siasatan kes itu dibuka semula.
LINK BERITA TERDAHULU: https://chronivo.my/2025/08/05/peguam-rayu-peguam-negara-pulangkan-laporan-dan-siasat-semula-kes-zara/
Pada 6 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah mengembalikan laporan penuh siasatan awal berkaitan kematian Zara kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), berserta arahan bagi melengkapkan beberapa perkara tertentu sebelum tindakan lanjut diambil.
Dalam kenyataan rasmi pada 7 Ogos, peguam menyifatkan tindakan itu adalah selaras dengan salah satu daripada empat perkara yang dipohon oleh keluarga Zara dalam surat mereka bertarikh 5 Ogos 2025 kepada Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.
Peguam berharap tiga perkara penting telah dimasukkan dalam arahan yang dimaksudkan iaitu penyiasatan dilakukan oleh pegawai penyiasat berpengalaman dari Bukit Aman, penggalian semula kubur Zara untuk membolehkan satu bedah siasat dilakukan bagi menentukan punca sebenar kematian, dan satu inkues diadakan untuk menentukan sama ada wujud unsur jenayah dalam kematian Zara.
Kelmarin (8 Ogos), mengarahkan pihak berkuasa menggali semula jenazah pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, yang dikebumikan selepas didakwa terjatuh dari bangunan asrama.
Menurut AGC, tindakan terbaru itu antara beberapa arahan yang dikeluarkan pihaknya untuk siasatan secara menyeluruh dilakukan.
Katanya, keperluan untuk menggali semula jenazah Zara bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah itu.