HomeUtamaPenempatan anggota polis di sekolah bendung kes buli - Nizam

Penempatan anggota polis di sekolah bendung kes buli – Nizam

Read Time:1 Minute, 54 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Cadangan agar anggota polis ditempatkan secara tetap di sekolah-sekolah, khususnya sekolah berasrama adalah sebagai langkah proaktif membendung gejala buli dalam kalangan pelajar.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, keberadaan anggota polis secara fizikal di sekolah boleh memainkan peranan penting sebagai pencegah awal terhadap kejadian buli serta jenayah lain dalam kalangan pelajar.

“Kita sedia maklum bahawa hampir semua sekolah ada pegawai perhubungan polis, namun saya mencadangkan agar di sekolah berasrama penuh, wujudkan kehadiran anggota polis secara tetap.

“Kalau ada anggota polis beruniform berada di sekolah, khususnya asrama, pelajar akan lebih berhati-hati dan ini mampu mengekang kes buli,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Tingkatan Enam (KT6T) Pra-Universiti Tawau, hari ini. Ia turut dihadiri Pengetuanya, Dr Rabe Juhari.

Cadangan itu susulan kes kematian seorang pelajar agama, Zara Qairina Mahathir baru-baru ini yang dikaitkan dengan kejadian buli, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

“Saya amat sedih dan simpati terhadap keluarga mangsa. Kejadian ini seharusnya menjadi pengajaran kepada semua pihak, terutamanya pentadbiran sekolah dan institusi pengajian agar tidak memandang ringan isu buli,” jelasnya.

Nizam turut menekankan bahawa cadangan penempatan anggota polis bertujuan sebagai langkah perlindungan serta membina keyakinan dalam kalangan pelajar, ibu bapa dan tenaga pengajar.

“Kita mahu ibu bapa rasa yakin dan tenang apabila menghantar anak mereka ke sekolah. Pelajar juga akan rasa lebih selamat dan bebas untuk belajar dalam suasana yang positif.

“Selain peranan warden di asrama, kehadiran anggota polis akan menambah nilai dalam aspek pengawasan dan pemantauan keselamatan pelajar,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyokong saranan mewajibkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah berasrama sebagai tambahan kepada langkah keselamatan.

“Pemasangan CCTV adalah keperluan. Ia membantu pemantauan berterusan dan boleh mengawasi pelajar mahupun kakitangan sekolah, agar keluarga mereka khususnya ibu bapa pelajar tidak risau keadaan anak mereka di asrama,” katanya.

Menjawab dakwaan kononnya kerajaan negeri tidak serius menangani isu buli, beliau menjelaskan bahawa Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, telah diberi taklimat penuh sejurus insiden berlaku dan telah mengambil maklum perkembangan kes tersebut secara berkala.

“Tuduhan mengatakan kerajaan negeri tidak prihatin adalah tidak benar. Bahkan Menteri Pendidikan Negeri, Datuk Ariffin, antara yang terawal menziarahi keluarga mangsa,” ujarnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular