Kudat : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk migran ke Sabah, semalam.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, kejayaan itu adalah hasil maklumat pengesanan Radar SWASLA Sabah yang berjaya dijejaki oleh bot peronda Maritim Malaysia sekitar jam 6.30 petang pada hari kejadian.
“Ketika cuba dihampiri, bot berkenaan tidak memberi keriasama setelah diarahkan berhenti dan berlaku adegan kejar mengejar dalam beberapa minit sebelum bot terbabit berjaya ditahan pada kedudukan lebih kurang 10.22 batu nautika barat Tg. Kalutan, berhampiran perairan barat Pulau Balambangan, Banggi.

“Pemeriksaan lanjut ke atas bot telah menemui, seorang tekong bot dan seorang kru beserta lapan orang penumpang terdiri daripada empat orang wanita dan empat orang lelaki yang berusia antara 19 ke 40 tahun,” katanya.
Menurutnya, bot, kru dan penumpang telah diiring masuk ke jeti Marina Kudat untuk siasatan selanjutnya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Akta Atipsom 2007, dan Akta Imigresen 1959/63 kerana cubaan menyeludup masuk ke negara Malaysia tanpa dokumen yang sah.
Dalam pada itu, Zon Maritim Kudat menyeru masyarakat khususnya komuniti maritim di kawasan perairan Kudat agar bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam membanteras aktiviti penyeludupan, dan jenavah rentas sempadan.
“Sebarang maklumat berkaitan kes jenayah di perairan, boleh disalurkan melalui talian Pusat Operasi Kudat di 088-611858 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam,” tambahnya. – Chronivo / FOTO MARITIM MALAYSIA