Selangor : Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif menafikan dakwaan yang mengaitkan anaknya dengan insiden tragik membabitkan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, baru-baru ini.
Beliau berkata, semasa Allahyarhamah dirawat di hospital, beliau bersama Ketua Pengarah serta rombongan telah hadir menziarahi ibu pelajar berkenaan.
“Pertamanya saya ingin menyatakan bahawa semasa beliau dirawat di hospital, saya bersama dengan Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hadir menziarah dan bertemu dengan ibu beliau .
“Yang kedua, selepas empat hari Allahyarhamah meninggal dunia, saya juga bersama dengan rakan-rakan rombongan daripada Yayasan Sabah dan wakil Rakyat Sindumin hadir untuk ziarah di Sipitang untuk menyampaikan salam daripada Ketua Menteri.
“Saya ada baca di media berhubung dakwaan yang menyatakan bahawa ada seorang bernama Farisha, anak kepada saya. Sebenarnya saya tidak ada anak yang bernama sedemikian dan tiada anak saya yang belajar di sekolah menengah berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Chronivo selepas menghadiri Program Roadshow Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) bersama mahasiswa Sabah di sini pada Sabtu.
Arifin yang juga Exco Pendidikan dan Agaman Sabah turut mendoakan agar roh pelajar berkenaan dicucuri rahmat Allah SWT, selain meminta ibu dan keluarga arwah agar tabah menghadapi ujian tersebut.
“Kita tunggu hasil siasatan polis. Kita tidak akan berkompromi berhubung apa yang berlaku kepada pelajar ini, dan kita minta supaya siasatan terbuka terus dilaksanakan demi keadilan untuk anak arwah,” katanya. – Chronivo