HomeUtamaMakanan warisan Sabah diangkat sebagai simbol perpaduan negara

Makanan warisan Sabah diangkat sebagai simbol perpaduan negara

Read Time:1 Minute, 58 Second

Kota Kinabalu: Warisan kulinari etnik Sabah terus dimartabatkan apabila Festival Cita Rasa Warisan @ Sabah (FCRW@S) menampilkan makanan tradisional negeri ini yang diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Warisan Tidak Ketara, Jabatan Warisan Negara, Somira Abdul Rahman berkata, festival tersebut mengangkat warisan makanan sebagai elemen penting dalam usaha memperkukuh sektor pelancongan dan kebudayaan negara.

“Makanan warisan Sabah yang mendapat pengiktirafan sebagai Warisan Kebangsaan termasuk Hinava/Umai, Kuih Cincin, Ambuyat/Pinantung, Tompe’/Tinompeh dan Nonsom Bambangan,” katanya ketika ditemui semasa program siaran langsung UMSfm, di sini pada Khamis.

Somira berkata, penganjuran festival ini bukan sahaja memartabatkan makanan tempatan malah menjadi simbol perpaduan rakyat berbilang etnik selain memperkenalkan produk budaya dan warisan sebagai tarikan pelancongan berdaya saing.

Tarikan utama festival antaranya adalah demonstrasi dan jualan makanan tradisional seperti Ambuyat, Busou, Nasi Linopot, Sambal Tuhau, Sagun Borneo dan Kuih Penyaram, selain memperkenalkan makanan yang telah mendapat pengiktirafan UNESCO sebagai budaya sarapan Malaysia iaitu teh tarik, roti canai dan nasi lemak.

Festival bertemakan ‘Makanan Untuk Kesihatan dan Kecantikan’ ini turut memberi penekanan kepada ulaman dan makanan berkhasiat yang kaya dengan nilai kesihatan.

Program empat hari itu berlangsung di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama, Kampung Lok Batik, Tuaran bermula hari ini hingga 10 Ogos dari jam 9 pagi hingga 11 malam yang melibatkan 25 peniaga dan penggiat makanan warisan terlibat sepanjang festival berlangsung.

Sementara itu, acara tumpuan ialah Pertandingan Cita Rasa Warisan Ratu Serimpak yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM2,300 dan menyaksikan para finalis mempersembahkan kehebatan menyediakan hidangan tradisional Ikan Ampap. 

Tambah Somira, inisiatif seumpama ini penting bagi menyemai kefahaman dalam kalangan masyarakat terhadap maksud dan nilai Warisan Kebudayaan Tidak Ketara (WKTK).

“Turut diadakan ialah sesi perkongsian ilmu mengenai makanan hampir pupus serta wacana ilmiah berkaitan falsafah dan simbolik makanan warisan Sabah, melibatkan pakar-pakar dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS),” katanya.

Jelasnya, Jabatan Warisan Negara melihat program sebegini sebagai medan penyatuan masyarakat pelbagai latar belakang, selain memperkukuh kerjasama strategik di peringkat akar umbi demi memelihara warisan negara.

“Yang paling penting ialah sokongan semua pihak berkepentingan dalam memastikan kesinambungan perlindungan Warisan Kebudayaan Tidak Ketara di Malaysia,” tambahnya.

FCRW@S merupakan anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Jabatan Warisan Negara dengan kerjasama Persatuan Suara Buluh Perindu Sabah, dan turut berlangsung bersempena Festival Kebudayaan Rumpun Bajau Sama Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

Kerajaan Persekutuan fokus kesejahteraan anggota ATM melalui pelbagai inisiatif – Mohamed...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular