HomeUtamaLebih 500,000 pengunjung hadir meriahkan HPPNK 2025 di Sabah

Lebih 500,000 pengunjung hadir meriahkan HPPNK 2025 di Sabah

Read Time:1 Minute, 26 Second

Kota Kinabalu : Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 yang berlangsung selama tiga hari bermula 1 Ogos lalu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini mencatat kejayaan luar biasa apabila berjaya melepasi sasaran awal dari segi kehadiran pengunjung dan nilai jualan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, seramai 504,491 pengunjung hadir sepanjang penganjuran program berprestij itu.

Manakala katanya, nilai jualan mencecah RM15,586,707, sekali gus membuktikan sambutan menggalakkan daripada orang ramai dan keberkesanan inisiatif dalam mempromosikan sektor agromakanan negara.

“Antara objektif utama HPPNK adalah untuk mengiktiraf jasa serta sumbangan peladang, penternak dan nelayan yang menjadi tonggak kepada keterjaminan makanan negara.

“HPPNK bukan sekadar sambutan, ia adalah pengiktirafan kepada wira-wira agromakanan negara. Kita raikan mereka yang memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi dan stabil,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Arthur berkata, pelbagai pengisian program menarik turut diadakan sepanjang HPPNK 2025 termasuk pameran agromakanan, pertandingan, kaunter perkhidmatan, serta ‘food empire’ yang menghimpunkan juadah viral dari seluruh negara. 

Menurutnya, inisiatif itu bertujuan membantu memperluas rangkaian pasaran usahawan tempatan serta memperkukuh ekosistem sektor agromakanan.

Tambahnya lagi, HPPNK 2025 juga mencatat sejarah apabila kembali dianjurkan di Sabah selepas kali terakhir negeri itu menjadi tuan rumah pada tahun 1995, iaitu 30 tahun lalu.

“Penganjuran kali ini bukan sahaja membanggakan Sabah sebagai tuan rumah, malah memberi limpahan ekonomi yang besar kepada negeri ini. 

“Ia juga dijangka merangsang pertumbuhan sektor pertanian Sabah dan membuka peluang ekonomi baharu kepada rakyat,” katanya.

Menurutnya, pihaknya merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan HPPNK 2025 dan berharap kejayaan itu akan terus membakar semangat seluruh warga agromakanan untuk terus menyumbang kepada pembangunan dan keterjaminan makanan negara. – Chronivo

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular