HomeUtamaKontraktor didenda RM15,000 berhubung insiden tiga pekerja maut terkena renjatan elektrik di...

Kontraktor didenda RM15,000 berhubung insiden tiga pekerja maut terkena renjatan elektrik di JKR Ranau

Read Time:2 Minute, 43 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang kontraktor yang menjalankan kerja berhampiran pepasangan elektrik tanpa kebenaran hingga menyebabkan kemalangan elektrik yang meragut tiga nyawa dijatuhi hukuman denda RM15,000, oleh Mahkamah Sesyen, hari ini.

E. Royston Tan, 37, yang mengaku bersalah di hadapan hakim Hurman Hussain juga berdepan penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut kertas pertuduhan, Royston sebagai orang yang mempunyai kawalan dan pengurusan terhadap kerja-kerja pemasangan lampu solar berhampiran pepasangan elektrik talian 11kV bervoltan tinggi milik Sabah Electricity (SE) didapati tidak mendapat kebenaran sah daripada pemegang lesen iaitu SE.

Insiden tersebut menyebabkan kemalangan elektrik yang mengakibatkan kematian tiga mangsa, iaitu Wong Yee Ming, 61; Salih Laurel, 35; dan Jimal, 25.

Kejadian berlaku pada 13 Disember 2024, kira-kira jam 10.44 pagi di Jabatan Kerja Raya (JKR) Ranau, Pekan Ranau.

Tertuduh didakwa di bawah subseksyen 55(1) Enakmen Bekalan Elektrik 2024, dan boleh dihukum di bawah subseksyen 55(2) Enakmen yang sama, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, Royz Enterprise merupakan kontraktor yang dilantik untuk menjalankan kerja-kerja menaik taraf pencahayaan itu dan Royz Enterprise merupakan perniagaan jenis milikan tunggal yang berdaftar di bawah nama tertuduh.

Sekitar jam 10.35 pagi, talian utama elektrik voltan tinggi 11kV F.LDAU01 terpelantik akibat kerosakan bumi (earth fault), dan ditenagakan semula lima minit kemudian, jam 10.40 pagi oleh SE.

Ketika itu, Salih dan Jimal berada di atas perancah (scaffolding) untuk memasang panel solar pada tiang lampu ke-12.

Panel tersebut menyentuh talian atas 11kV, menyebabkan renjatan elektrik dan percikan api, lalu kedua-dua mangsa terjatuh.

Wong Yee Ming yang cuba membantu Salih disyaki turut terkena renjatan selepas menyentuh struktur perancah yang telah beraliran elektrik.

Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi.

Jarak antara perancah dan kabel elektrik sangat dekat, hanya kira-kira 0.5 meter. Manakala tiang lampu hanya 1.3 meter dari kabel voltan tinggi, sedangkan jarak kelegaan minimum yang ditetapkan Enakmen Bekalan Elektrik ialah 4.57 meter

Pada jam 10.44 pagi, JKR Ranau melaporkan kemalangan kepada SE.

Pemeriksaan di tempat kejadian mendapati terdapat kesan terbakar pada panel solar, tiang lampu, struktur perancah, dan tubuh mangsa, menunjukkan mereka telah terkena renjatan elektrik yang kuat 11kV.

Kerja-kerja ini dijalankan tanpa kebenaran sah daripada SE dan tertuduh tidak pernah memohon Permit Mula Kerja.

Akibatnya, talian tersebut masih aktif ketika kerja dijalankan, kerana SE tidak menutup bekalan elektrik memandangkan tiada makluman rasmi mengenai kerja-kerja itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Penolong Pengarah (Pendakwaan), Hal Ehwal Undang-Undang, Energy Commission of Sabah (ECoS), Andryeno Thomas.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam telah membayar denda tersebut.

Semasa rayuan, tertuduh antara lain meminta hukuman ringan kerana telah membayar pampasan kepada keluarga mangsa dan menyesali perbuatannya.

Manakala, pihak pendakwaan memohon hukuman berat sebagai pengajaran agar undang-undang keselamatan elektrik mesti dipatuhi.

Menurutnya, fakta kes jelas menunjukkan kecuaian tertuduh mengakibatkan tiga pekerja maut terkena renjatan elektrik.

Tertuduh, sebagai kontraktor elektrik berdaftar, bertanggungjawab memastikan semua kerja berhampiran talian elektrik dijalankan dengan selamat, termasuk mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa seperti SE dan ECoS.

Namun, tertuduh antara lain gagal memohon permit, tidak memberi notis kerja, tidak memastikan penutupan bekalan elektrik walaupun jarak kerja sangat dekat, dan tidak memberikan latihan keselamatan kepada pekerja.

RELATED ARTICLES
EnglishUtama

‘Reckless, Dangerous and Disgusting’: Lawyers Hit Back at Shafie Over Zara...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular