Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat, dijangka menyerahkan telefon bimbit miliknya kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, Kepayan, petang ini, menurut peguam.
Peguam Hamid Ismail dan Shahlan Jufri berkata, telefon berkenaan mengandungi rakaman audio perbualan antara anak guam mereka dan Zara, yang berkemungkinan dapat membantu melengkapkan siasatan yang sedang dijalankan.
“Untuk membantu melengkapkan siasatan polis, anak guam kami (Noraidah) akan menyerahkan telefon bimbitnya yang mengandungi rakaman-rakaman audio perbualan telefon di antara dia dan Zara kepada polis pada petang ini di ibu pejabat polis daerah Kota Kinabalu di Kepayan,” kata peguam dalam satu kenyataan bersama hari ini.
Dalam pada itu, peguam berterima kasih kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) yang telah mengembalikan laporan penuh siasatan awal berkaitan kematian Zara kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam, berserta arahan bagi melengkapkan beberapa perkara tertentu sebelum tindakan lanjut diambil.
“Tindakan ini adalah selaras dengan salah satu daripada empat perkara yang dipohon oleh kami dalam surat kami bertarikh 5 Ogos 2025 kepada Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar,” kata mereka.
Peguam berharap tiga perkara penting telah dimasukkan dalam arahan yang dimaksudkan iaitu penyiasatan dilakukan oleh pegawai penyiasat berpengalaman dari Bukit Aman, penggalian semula kubur Zara untuk membolehkan satu bedah siasat dilakukan bagi menentukan punca sebenar kematian, dan satu inkues diadakan untuk menentukan sama ada wujud unsur jenayah dalam kematian Zara.
Zara, pelajar Tingkatan 1 di sebuah sekolah agama di Papar, Sabah, ditemui tidak sedarkan diri selepas didakwa jatuh dari bangunan asrama. Dia disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) pada jam 1.07 petang, 17 Julai.
Kejadian itu tular di media sosial susulan dakwaan kejadian buli yang mengaitkan anak menteri, VIP dan individu berpengaruh dengan kematian pelajar terbabit, sekali gus mengundang pelbagai reaksi netizen.
Terdahulu pasukan guaman merayu kepada Peguam Negara supaya memulangkan semula kertas siasatan kepada pihak polis bagi membolehkan siasatan kes itu dibuka semula.
Kelmarin, AGC menyerahkan semula laporan penuh siasatan awal kepada PDRM untuk melengkapkan siasatan kes kematian Zara.