Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat, telah menyerahkan telefon bimbit miliknya yang mengandungi rakaman audio perbualan bersama anaknya kepada polis, petang tadi.
Penyerahan dibuat sekitar jam 4 petang di Balai Polis Karamunsing dan disahkan oleh peguam keluarga, Hamid Ismail dan Mohd Luqman Syazwan Zabidi Md Zain dalam satu sidang media selepas selesai proses penyerahan itu.
“Telefon bimbit itu penting kerana mengandungi rakaman-rakaman audio antara ibu dan arwah Zara. Semua item yang diserahkan akan dihantar ke bahagian forensik di Cheras untuk dianalisis,” katanya.
Hamid turut menjelaskan bahawa walaupun polis telah meminta telefon bimbit itu semalam, penyerahan ditangguhkan bagi memberi ruang kepada ibu arwah untuk berehat selepas keterangannya diambil selama kira-kira empat jam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang.
“Pada penyerahan hari ini, beliau (Noraidah) tidak diiringi oleh kami, tetapi ditemani oleh Marhama Rosli dari sebuah badan bukan kerajaan (NGO), kerana beliau lebih selesa begitu,” tambah beliau.
Ditanya mengenai barangan lain yang diserahkan kepada pihak polis, Hamid enggan mengulas lanjut dan hanya berkata, “Saya tidak boleh beritahu semua.”
Sementara itu, Hamid juga mengesahkan bahawa tiada bedah siasat (post-mortem) dijalankan terhadap arwah Zara sebelum ini, dan perkara itu bukan disebabkan keengganan ibu arwah menandatangani sebarang dokumen.
“Isunya bukan tandatangan. Memang tiada post-mortem dilakukan sejak awal,” jelas beliau.
Hamid berterima kasih kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) kerana telah menunaikan hasrat mereka untuk mengembalikan hasil siasatan awal berkaitan kematian Zara kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan secara aktif. Kami amat menghargai usaha ini,” katanya.
Zara, pelajar Tingkatan 1 di sebuah sekolah agama di Papar, Sabah, ditemui tidak sedarkan diri selepas didakwa jatuh dari bangunan asrama. Dia disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) pada jam 1.07 petang, 17 Julai.