HomeIsu tempatanSMD 8.0 sasar 60,000 penunggang, pacu kesedaran belia bebas dadah

SMD 8.0 sasar 60,000 penunggang, pacu kesedaran belia bebas dadah

Read Time:1 Minute, 49 Second

Kota Kinabalu : Penganjuran Sabah Moto Day (SMD) 8.0 yang bakal berlangsung selama dua hari bermula 16 Ogos ini menyasarkan kehadiran sekurang-kurangnya 60,000 penunggang dan pengunjung.

Pengerusi Skuad Anti Dadah Negeri Sabah, Datuk Mazlan Joehari Manan berkata, penyertaan itu melibatkan penunggang dari dalam dan luar negeri, termasuk Sarawak, Labuan dan Brunei.

Katanya,penyertaan kali ini bukan sahaja tertumpu kepada aktiviti permotoran semata-mata, malah turut memperkukuh peranan belia sebagai agen perubahan menentang penyalahgunaan dadah.

Menurutnya, SMD 8.0 yang diadakan di Padang Kawad, Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu dianjurkan Kelab Dua Roda Bersatu dengan kerjasama Skuad Anti Dadah negeri Sabah.

“Penyertaan aktif skuad ini untuk tahun kedua berturut-turut bertujuan memberi kesedaran mengenai bahaya najis dadah dalam kalangan komuniti pemotoran, khususnya anak muda.

“Kumpulan permotoran adalah antara kelompok belia yang besar. Kami mahu guna peluang ini untuk menyebar luas mesej pencegahan dadah serta menarik minat belia menyertai skuad ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Pengerusi Kelab Dua Roda Bersatu Rudhi Hariyanto Ghazali yang juga pengasas SMD di sini pada Selasa.

Mazlan berkata, antara aktiviti yang dirancang termasuklah reruai pameran dan interaktif anti dadah; bicara khas bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selain beberapa aktiviti lain.

Beliau berkata, sehingga kini seramai 13,000 ahli Skuad Anti Dadah telah berdaftar di Sabah dan pihaknya mensasarkan untuk mencecah 100,000 keahlian melalui program besar seperti SMD. 

“Sepanjang acara, pelbagai promosi dan insentif keahlian disediakan termasuk cabutan bertuah untuk ahli, dengan hadiah utama berupa dua buah motosikal,” katanya.

Menurutnya lagi, Ketua Menteri Sabah turut dijadual hadir merasmikan acara tersebut pada 17 Ogos, sebagai tanda sokongan penuh terhadap inisiatif yang menggabungkan belia, sukan permotoran dan kempen sosial ini.

Sementara itu, Rudy memberi jaminan aspek keselamatan dan lalu lintas pada tahun ini dipertingkatkan dengan kerjasama PDRM, polis bantuan UMS dan RELA.

Katanya, ini termasuk penyesuaian laluan trafik bagi mengelak kesesakan seperti tahun-tahun sebelumnya.

“Tahun ini kita tak akan guna laluan kampung. Semua laluan masuk dan keluar akan melalui jalan dalam UMS dan laluan belakang One Borneo,” katanya.

Program dua hari ini dijangka menjadi antara perhimpunan permotoran terbesar di Borneo, memperkukuh perpaduan komuniti permotoran dan menyampaikan mesej penting dalam memerangi penyalahgunaan dadah. – Chronivo

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS bantu ringankan persiapan pelajar STPM ke menara gading

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular