Kota Kinabalu : Kerajaan Negeri komited untuk mempertingkatkan keupayaan tenaga kerja tempatan di negeri ini, termasuk dalam sektor air yang selaras dengan visinya untuk kemakmuran Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, para profesional yang dibekalkan dengan pengetahuan dan kemahiran terkini berupaya untuk menerajui penerapan teknologi dan amalan baharu.
“Pelaburan dalam modal insan ini amat penting untuk pembangunan mampan dalam semua sektor pembangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Asiawater Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Rabu.
Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.
Hajiji berkata, tidak dinafikan bahawa manfaat ekonomi daripada industri air dan kumbahan yang kukuh adalah besar kerana perkhidmatan air yang lebih baik membawa kepada peningkatan tahap kesihatan awam dan produktiviti yang lebih tinggi.
“Apabila kita melabur dalam infrastruktur air, kita turut merangsang penciptaan pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi, seterusnya memastikan semua rakyat Sabah mendapat manfaat daripada kemajuan ini,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata persidangan dan expo ini merupakan satu lagi detik penting dalam usaha menangani isu utama yang memberi kesan kepada Sabah.
“Dalam beberapa hari ini, saya percaya anda semua akan terlibat dalam perbincangan yang bermakna serta meneroka penyelesaian inovatif bagi menangani cabaran mendesak yang kita hadapi di Sabah,” katanya.
Hajiji berharap perbincangan itu akan membuka ruang baharu untuk kerjasama dan perkongsian ilmu.
“Apa yang lebih penting ialah mempertingkatkan keupayaan dan merangka strategi berkesan untuk menambah baik perkhidmatan air kepada masyarakat kita,” katanya. – Chronivo