HomeUtamaPIBG cadang pemasangan CCTV di sekolah untuk cegah jenayah

PIBG cadang pemasangan CCTV di sekolah untuk cegah jenayah

Read Time:3 Minute, 8 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Cadangan untuk meletakkan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah-sekolah telah dikemukakan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebagai langkah pencegahan awal terhadap kes jenayah, salah laku pelajar dan isu disiplin lain di kawasan sekolah.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, inisiatif tersebut wajar dipertimbangkan, khususnya di kawasan ‘hotspot’ yang berisiko tinggi, bagi membantu pihak sekolah dan polis menjalankan pemantauan dengan lebih berkesan.

“Cadangan yang dibangkitkan oleh PIBG ini saya anggap satu langkah yang baik, namun pelaksanaannya bergantung kepada kemampuan kewangan sekolah dan pihak berkaitan,” katanya dalam sidang media selepas Program Permuafakatan antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendidikan Daerah Kota Kinabalu yang diadakan di sini, hari ini.

Program permuafakatan kali kedua bagi tahun ini bertujuan mengukuhkan kerjasama strategik antara pihak polis dan sekolah-sekolah di daerah ini dalam menangani pelbagai isu keselamatan dan disiplin pelajar.

“Antara fokus utama kita adalah menangani kes jenayah, kesalahan berkaitan dadah, kesalahan lalu lintas serta jenayah komersial. Selain itu, kita juga memberi panduan kepada para pengetua dan guru-guru mengenai cara mengurus dan menangani kes jenayah di sekolah,” katanya.

Menurut Kasim, sejak program kerjasama ini dilancarkan awal tahun ini, statistik menunjukkan penurunan ketara dalam kes-kes jenayah melibatkan pelajar sekolah di sekitar Kota Kinabalu.

“Setakat ini, tiada kes melibatkan dadah dan jenayah komersial direkodkan. Untuk kes jenayah kecil seperti pergaduhan, hanya dua hingga tiga kes dilaporkan yang diklasifikasikan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ditanya mengenai kes-kes jenayah tular melibatkan pelajar sekolah, beliau menjelaskan, kebanyakan insiden yang tular di media sosial kebelakangan ini bukan kes baharu, sebaliknya kejadian lama yang disebarkan semula oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Penularan semula kes lama ini telah menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat. Oleh itu, saya menyeru orang ramai agar tidak mudah menyebarkan maklumat tanpa pengesahan,” tegasnya.

Kasim turut menasihatkan masyarakat supaya menyerahkan sebarang maklumat berkaitan kes kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut dan tidak menularkan kejadian yang belum disahkan kesahihannya.

“Setiap kes perlu disiasat secara profesional oleh pihak polis bersama Jabatan Pendidikan. Kita tidak mahu mana-mana individu dijadikan ‘kambing hitam’ dan menjejaskan integriti siasatan.

“Jika kes diviralkan sebelum disiasat, ia akan menyukarkan proses undang-undang, terutama apabila kes dibawa ke mahkamah kelak,” tegasnya.

Beliau berkata, PDRM bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) turut memberi tumpuan kepada isu buli pelajar yang semakin mendapat perhatian.

“Tiga bentuk buli diberi tumpuan iaitu buli fizikal, buli lisan dan buli siber. Kita sedang merangka pendekatan bersama pihak sekolah untuk menangani masalah ini secara berterusan,” katanya.

Pada sidang media sama, Kasim turut mendedahkan bahawa lebih 30 kes melibatkan perhubungan seksual bawah umur telah direkodkan di daerah ini sepanjang tahun ini.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai rogol kerana melibatkan remaja bawah umur walaupun berlaku atas dasar suka sama suka. Ini berpunca daripada pengaruh media sosial dan kurangnya pendidikan seksual,” katanya.

Menurut beliau, sebahagian besar kes telah disiasat dan diselesaikan, namun pihak polis akan terus melaksanakan program pencegahan bersama sekolah dan komuniti bagi mengekang masalah ini daripada terus berleluasa.

“Walaupun tidak semua kes melibatkan pelajar sekolah, remaja bawah umur tetap menjadi perhatian kerana mereka mudah terpengaruh dan kurang pendedahan terhadap kesan sosial serta undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Kota Kinabalu, Suhaimi Matshah berkata, pihak sekolah sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam mengurus sebarang kes disiplin termasuk buli.

“Kami mempunyai garis panduan yang jelas. Laporan perlu disediakan dalam tempoh satu hari, tiga hari dan tujuh hari bergantung kepada tahap serius kes. Sekolah akan serah laporan kepada PPD dan seterusnya ke Jabatan Pendidikan Negeri.

“Sepanjang proses ini, pihak sekolah dan PPD tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan kepada media. Jadi kita minta masyarakat yakin kepada sekolah dan juga bersabarlah. Bersabar dan yakin sebab kami pun mengikut garis panduan yang diberi,” jelas Suhaimi.

RELATED ARTICLES
EnglishUtama

‘Reckless, Dangerous and Disgusting’: Lawyers Hit Back at Shafie Over Zara...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular