Kudat : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan Vesel Nelayan Asing (VNA) Vietnam selepas cuba merempuh aset ronda Maritim Malaysia untuk meloloskan diri di perairan Kudat, semalam.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, vesel berkenaan berjaya dikesan sekitar jam 4 pagi semalam di lokasi lebih kurang 1.22 batu nautika tenggara Tanjung Bukit Pulau Malawali, Kudat hasil maklumat awam yang diterima pihaknya.
“Semasa cuba dihampiri, suspek memotong tali tunda serta membiarkan tali terjuntai panjang di bahagian belakang vesel serta memasang palang besi di bahagian kiri dan kanan vesel terbabit kerana enggan memberi kerjasama ketika diarahkan untuk berhenti.
“Suspek juga bertindak berani cuba merempuh bot ronda Maritim Malaysia yang cuba merapat” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Namun,Hasbullah berkata, helah tersebut gagal apabila berlaku aksi kejar-mengejar selama hampir 15 minit sebelum anggota Maritim Malaysia berjaya melompat ke atas vesel berkenaan bagi menghentikannya.

Setelah penggeledahan dilakukan katanya, vesel terbabit disyaki melakukan aktiviti menunda dan menangkap balat dengan penemuan peralatan yang diperbuat daripada besi padu yang direka khas untuk menangkap balat.
“Pemeriksaan ke atas bot berkenaan juga turut menemui lebih kurang 40kg balat dan sekitar 300 liter minyak diesel dibawa bot berkenaan.
“Seramai lima individu merupakan warganegara Vietnam berumur lingkungan 28 hingga 39 tahun ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.
Menurutnya lagi, semua yang terbabit termasuk bot serta hasil laut diiring masuk ke Jeti untuk siasatan lanjut.
“Keseluruhan nilai rampasan termasuk vesel serta peralatan yang digunakan dianggarkan lebih RM2 juta. Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1956/63.
“Maritim Malaysia merakamkan jutaan terima kasih di atas kerjasama yang diberikan oleh masyarakat awam khususnya komuniti maritim di sekitar perairan Kudat yang sentiasa menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan salah laku yang berlaku di perairan ini,” katanya. – Chronivo / FOTO MARITIM MALAYSIA