HomeUtamaMahkamah Rayuan : SPR Tidak Boleh Halang Pengundi Atas Alasan Covid-19

Mahkamah Rayuan : SPR Tidak Boleh Halang Pengundi Atas Alasan Covid-19

Read Time:1 Minute, 38 Second

KUALA LUMPUR — Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah bertindak secara tidak sah apabila menghalang seorang pengundi, Tamileswaaran A/L Ravi Kumar, daripada mengundi pada Pilihan Raya Negeri Johor bagi kerusi Skudai pada 12 Mac 2022 atas alasan beliau positif COVID-19 dan berada dalam tempoh kuarantin.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Wong Kian Kheong sebulat suara membenarkan rayuan Tamileswaaran, mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini menolak semakan kehakiman beliau, serta mengeluarkan perintah certiorari untuk membatalkan tindakan SPR.

Mahkamah turut mengisytiharkan bahawa tindakan SPR menghalang perayu daripada mengundi atas alasan status kesihatan dan kuarantin adalah melanggar hak perlembagaannya di bawah Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.

Dalam penghakiman, mahkamah menegaskan bahawa hak mengundi adalah hak perlembagaan, bukannya hak statutori, dan hanya boleh dihadkan atau dipinda melalui sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga ahli Parlimen di kedua-dua Dewan.

SOP dan peraturan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang digunakan SPR untuk menghalang Tamileswaaran dianggap sebagai “perundangan subsidiari” dan tidak termasuk dalam takrif “undang-undang persekutuan” menurut Perkara 160(2).

Panel hakim turut memutuskan bahawa mahkamah mempunyai budi bicara untuk memberikan pampasan atau ganti rugi sekiranya hak mengundi dilanggar, namun dalam kes ini tidak berbuat demikian kerana SPR bertindak berlandaskan SOP demi kepentingan kesihatan awam dan pegawainya bertindak dengan niat baik.

Sementara itu, peguam Tamileswaaran, New Sin Yew, ketika dihubungi Chronivo berkata, “Ini adalah satu keputusan yang amat penting. Hak untuk mengundi adalah tonggak utama demokrasi kita.

Mahkamah Rayuan telah mengiktiraf hak mengundi sebagai hak perlembagaan dan bukannya hak statutori, yang tidak boleh dimansuhkan dengan mudah. Hak perlembagaan memerlukan sokongan dua pertiga ahli Parlimen untuk dipinda, manakala hak statutori hanya memerlukan majoriti mudah. Dan ia sama sekali tidak boleh dinafikan melalui perundangan subsidiari yang dibuat oleh pegawai kerajaan.”

Tamileswaaran diwakili peguam New Sin Yew dan Nur Izni Syazwani Ahmad, manakala pihak responden diwakili oleh Mohammad Al-Saifi Hashim, Nur Syazwani Abdul Aziz dan Fauziah Daud dari Jabatan Peguam Negara.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular