Kota Kinabalu : Sebanyak 140 buah kontinjen perbarisan dijangka akan menyertai dan memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan Hari Sabah 2025.
Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kontinjen yang menyertai adalah terdiri daripada agensi kerajaan, sekolah, pertubuhan sukarela serta pasukan beruniform.
“Istimewanya pada tahun ini adalah buat julung kalinya, sambutan ini akan dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Musa Aman dan ini menjadikan sambutan lebih bermakna.
“Kedatangan Tun Musa dijangka pada jam 7.30 pagi maka kita andaikan bahawa acara-acara rasmi akan diadakan di antara 7.30 pagi hingga 10.30 pagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Tun Musa di Istana Seri Kinabalu, di sini pada Selasa.
Masidi berkata, pihaknya turut menjangkakan kehadiran orang ramai seperti tahun sebelumnua apabila memenuhu laluan strategil lebih awal.
“Oleh itu, saya mengharapkan semua rakyat Sabah akan sama-sama turun untuk meraikan dan hadir dalam acara sambutan pada 31 Ogos di Jalan Tun Fuad Stephens bagi membuktikan rasa cinta dan sayang kita kepada negara kita dan juga kepada Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, Masidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Hari Kebangsaan Hari Sabah 2025 berkata, tema sambutan tahun ini iaitu Malaysia Madani Rakyat Disantuni cukup sinonim khususnya kepada pemimpin.
“Tema ini cukup sinonim khususnya seruan kepada pemimpin-pemimpin, kepada mereka yang diamanahkan dengan kedudukan tertentu untuk sentiasa turun padang menyantuni rakyat.
“Jadi, tema ini adalah seruan kepada pemimpin untuk turun padang, santuni rakyat dan nampakkan kehadiran pemimpin, orang-orang yang mereka harapkan menjadi sandaran kepada merealisasikan impian mereka,” katanya.
Beliau turut menasihati orang ramai untuk terus mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah sebagai tanda cinta dan sayang kepada negara Malaysia dan negeri Sabah.
Hadir sama, Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Tan Lee Fatt dan Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah.