Oleh Erdie Ab Wahid
Di sebalik setiap helai sayur kubis yang digoreng rangup menjadi serunding, tersembunyi kisah tentang cinta, komuniti dan amanah terakhir seorang anak kepada ibunya yang mahu produk makanan kering dikenali sebagai ‘Serunding Kubis’ diteruskan sampai bila-bila.
Segalanya bermula di saat dunia ‘terhenti’ seketika sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020 dan menjadikan kediaman mereka di Kampung Libang Ranau sebagai pusat operasi pembikinan produk berkenaan.
Menceritakan lebih lanjut, ibu kepada pengasas Serunding Kubis itu, Rojaliah Hanti,50, berkata, lambakan sayur-sayuran khususnya kubis dari Kundasang pada masa itu memberi cetusan idea kepada anak sulungnya, Allahyarhamah Syasya Najihah Jee Rosly untuk mencipta peluang bagi menghasilkan produk makanan kering.

“Idea untuk mencipta serunding daripada kubis muncul daripada rasa bosan yang melampau pada ketika itu masih PKP, tetapi dengan semangat dan kreativiti luar biasa, kami cuba untuk mencipta sesuatu.
“Cubaan pertama tidak menjadi. Namun selepas beberapa kali mencuba, satu resipi yang ringkas dan ‘kena rasa’ berjaya dihasilkan.
“Waktu itu kami rasa gembira bukan sebab sedap semata, tapi sebab akhirnya kami ada sesuatu untuk dilakukan, selain hanya menunggu,” katanya.
Rojaliah berkata demikian ketika ditemui Chronivo sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini baru-baru ini.
DARI JIRAN KE SELURUH MALAYSIA
Menurutnya, serunding ini mula diedarkan kepada jiran-jiran, dijual menggunakan balang kecil dengan harga RM5.
Katanya, sambutannya di luar jangkaan. Dari kaki lima rumah, jualannya menjangkau ke seluruh negara, biarpun tanpa mesin, tanpa pembungkusan rasmi, dan hanya berbekalkan semangat gotong-royong komuniti.
“Kenapa RM5? Sebab kubis pun dapat percuma. Waktu itu orang tidak banyak keluar, jadi kita hantar-hantar ikut jadual kapal. Dari Ranau, sampai ke Semenanjung.
“Ketika itu belum ada mesin, belum ada pembungkusan rasmi. Mereka menggunakan balang kecil untuk menyimpan dan pelekat berwarna coklat untuk menutupnya. Minyak pun belum ditapis, menyebabkan serunding cepat rosak jika dihantar jauh. Namun pembeli tetap menyokong.
“Walaupun sampai hitam, mereka tetap kata sedap,” katanya.
Mereka memulakan operasi secara kecil-kecilan, melibatkan dua jiran terdekat. Ada yang menyertai walaupun suami sakit dan tidak bekerja, ada yang ibu tunggal dengan anak-anak masih bersekolah.

Rojaliah berkata, semua berkongsi satu harapan dimana serunding kubis ini adalah jalan keluar dari tekanan hidup semasa pandemik.
Dengan sokongan pelbagai pihak termasuk Universiti Malaysia Sabah (UMS), serunding kubis bukan saja diterima masyarakat tempatan, malah turut diterima diserata kawasan di negara ini.
AMANAH TERAKHIR SEORANG ANAK
Namun kejayaan ini tidak datang tanpa kehilangan. Pengasas produk, seorang anak muda yang penuh cita-cita telah meninggal dunia beberapa tahun selepas produk ini diperkenalkan.
Menurut ibunya, Allahyarhamah anaknya pernah berpesan dimana beliau mahu produk makanan itu diteruskan untuk komuniti setempat.
“Allahyarhamah anak saya pernah berbicara panjang, katanya ‘Ibu..walaupun saya tiada nanti, teruskan serunding ini. Ini bukan hanya makanan, ini harapan orang kampung. Ini untuk komuniti kita’,”katanya
Pesanan itu menjadi nadi perjuangan keluarga dan komuniti hingga hari ini. Mereka mengangkat serunding kubis sebagai simbol kasih, pengorbanan, dan impian anak muda yang mahu melihat lebih banyak kehidupan berubah melalui usaha kecil dari dapur kampung.
DARI AMANAH MENJADI LEGASI
Kini serunding kubis mampu menghasilkan 300 hingga 600 pek sebulan, bergantung kepada permintaan.
Menurut Rojaliah, sehingga kini, lebih 30 ahli komuniti terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam penghasilan produk ini, dengan lapan daripadanya aktif sepenuh masa.
Walaupun masih bergantung kepada pisau dan periuk biasa, mereka tidak pernah berputus asa.
Malah berjaya mencipta alat penapis minyak sendiri bagi memastikan serunding lebih tahan lama dan sesuai untuk pasaran luar.
“Kubis itu bulat, dan dalamnya banyak lapisan. Setiap lapisan seperti hati kami.
“Satu demi satu mewakili kasih sayang, semangat, perjuangan dan harapan. Serunding ini bukan semata-mata produk. Ini amanah. Ini legasi,” kata Rojaliah lagi.
ANUGERAH PENCETUS SEMANGAT
Pada 2023, penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang diketuai Dr. Jurry Foo berkata, idea penghasilan berjaya merangkul Anugerah Reruai Agensi NGO kategori Reruai Inovatif pada Persidangan Komuniti Pertanian Kebangsaan (PKPK) 2023 yang diadakan di Serdang, Selangor menerusi Serunding Kubis UMS.
Dr. Jurry Foo berkata, idea penghasilan Serunding Kubis itu tercetus selepas pihaknya melihat kesusahan petani dan peniaga tempatan yang berdepan lambakan tanaman tersebut susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik COVID-19.
Beliau yang juga Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) UMS pada ketika itu berkata, Serunding Kubis adalah inisiatif UMS bagi membantu petani dan peniaga dalam kalangan penduduk Ranau yang berdepan kekangan pergerakan akibat pelaksanaan PKP, sekali gus menyukarkan mereka untuk memasarkan hasil pertanian masing-masing.
“Kejayaan ini membuktikan keupayaan UMS membudayakan inovasi sesuai dengan peranannya sebagai peneraju masyarakat berinovatif,” katanya.
Berita terdahulu : https://share.google/zodJhfSXl9emRdSAX
PRODUK BERKEMBANG
Selain serunding kubis, beberapa produk lain turut dikembangkan menerusi jenama D’Dompur, antaranya serunding kubis pedas dan original; serunding lada putih; serunding kantan; serunding kodop danerunding bawang putih.- Chronivo