HomeSukanPasukan Kota Kinabalu kekal juara memanah MSSS 2025

Pasukan Kota Kinabalu kekal juara memanah MSSS 2025

Read Time:1 Minute, 53 Second

LAHAD DATU: Pasukan Memanah Kota Kinabalu sekali lagi mengukuhkan kedudukan sebagai juara keseluruhan dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Sabah (MSSS) 2025 yang berlangsung di SK Sepagaya, Lahad Datu dari 27 Julai hingga 1 Ogos lalu.

Pasukan itu membawa pulang 15 pingat emas, 14 perak, lapan gangsa dan enam kedudukan keempat, sekali gus mengekalkan dominasi mereka dalam sukan memanah peringkat negeri.

Salah seorang bintang muda pasukan, Aedan Chaw Zheng Zhe, mencuri tumpuan apabila meraih tujuh pingat emas dan satu perak, menjadikannya antara atlet paling menyerlah dalam kejohanan tersebut.

Walaupun pasukan Kota Kinabalu menunjukkan prestasi dominan dalam kategori Lelaki Bawah 15 Tahun, kejohanan kali ini turut menyaksikan kebangkitan beberapa daerah lain seperti Sipitang, Kota Marudu, Sandakan dan Tongod yang masing-masing menyerlah dalam kategori berbeza.

Presiden Persatuan Memanah Negeri Sabah (PMNS) merangkap Presiden Persatuan Memanah Daerah Kota Kinabalu (PMDKK), Datuk Ram Singh, menyatakan rasa gembira terhadap perkembangan positif itu yang menurutnya membuktikan keberkesanan program pembangunan sukan memanah yang dilaksanakan secara bersama oleh PMNS dan PMDKK.

“Saya amat berbesar hati melihat penyertaan aktif dan peningkatan prestasi dari daerah-daerah lain. Ini menunjukkan program yang kita laksanakan semakin membuahkan hasil. Kita akan terus bekerjasama rapat dengan Majlis Sukan Negeri Sabah, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, sekolah-sekolah dan agensi lain untuk memperluas pembangunan sukan memanah di seluruh Sabah serta di peringkat kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Sabah kini mempunyai tiga pemanah yang menyertai skuad kebangsaan iaitu Syafiq Busthamin, Evan Rich Chong dan Quik Chern Xin, satu pencapaian membanggakan hasil pelaburan dalam pembangunan bakat tempatan.

Dalam pada itu, Ram Singh turut mengucapkan tahniah kepada pasukan memanah para negeri Sabah yang dinobatkan sebagai juara keseluruhan dalam Sirkit 2 Para Memanah Kebangsaan Allianz-MSN-NAAM 2025 yang berlangsung di Kuala Lumpur dari 23 hingga 27 Julai lalu.

Pasukan Memanah Para Sabah.

Pasukan para Sabah berjaya meraih empat pingat emas, lima perak dan dua gangsa, menewaskan tujuh pasukan lain dari seluruh negara.

“PMNS dan PMDKK akan terus memberi sokongan kepada pasukan para, termasuk berkongsi kemudahan latihan seperti papan sasaran dan ‘target face’ di padang latihan PMDKK,” tambahnya.

Ram Singh turut merakamkan penghargaan kepada semua jawatankuasa PMNS dan PMDKK atas komitmen serta usaha gigih mereka membantu memperkasakan program latihan di peringkat daerah, sekali gus meningkatkan prestasi sukan memanah di Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular