HomeUtamaSF dan KPF Jalinkan Kerjasama Strategik Pacu Transformasi Teknologi Hijau dalam Sektor...

SF dan KPF Jalinkan Kerjasama Strategik Pacu Transformasi Teknologi Hijau dalam Sektor Perladangan

Read Time:2 Minute, 6 Second

Sustainable Future Sdn Bhd (SF), syarikat bersekutu di bawah Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF), kini melangkah ke hadapan dalam memperkukuh penggunaan teknologi hijau menerusi kerjasama strategik yang dilancarkan baru-baru ini.

Menurut kenyataan SF, syarikat itu telah diberi tanggungjawab mengendalikan operasi Pusat Mengumpul Sawit (PMS) di Felda Bukit Damar yang kini dikenali sebagai PMS Damar Berkat, menjadikannya tapak perintis pelaksanaan model pengurusan baharu berasaskan prinsip kelestarian, kecekapan dan teknologi masa depan.

Pelaksanaan ini merupakan sebahagian daripada pelan tindakan menyeluruh berlandaskan empat teras utama teknologi hijau, iaitu penggunaan kenderaan elektrik perindustrian dan sistem logistik pintar, pembangunan tenaga boleh diperbaharui dan sistem simpanan tenaga (BESS), pengurusan sisa bersepadu serta pelaksanaan kredit karbon menjelang 2026.

“Perjanjian ini membuka ruang kepada pembinaan ekosistem hijau yang moden dan berdaya saing, di samping meningkatkan pulangan kepada peneroka dan mengurangkan kebergantungan terhadap sistem tradisional yang dikenal pasti banyak ketirisannya,” menurut kenyataan itu.

Sebagai langkah permulaan, semua penghantaran Buah Tandan Segar (BTS) ke PMS Damar Berkat akan menggunakan lori elektrik (EV) yang dipantau menerusi sistem Fleet Management System (FMS) secara masa nyata, bagi memastikan kecekapan logistik dan penjimatan tenaga yang optimum.

Dalam pada itu, transaksi BTS juga telah didigitalkan, menggantikan sistem konvensional yang sebelum ini banyak bergantung kepada peraih luar dan kurang ketelusan. Pendekatan ini membolehkan pemantauan yang lebih tepat serta pengesahan terus kepada peneroka berkaitan kuantiti dan harga.

“Harga BTS yang ditawarkan juga lebih tinggi berbanding pasaran luar, sebagai usaha menjamin pulangan yang lebih baik kepada peneroka. Langkah ini dijangka memperkukuh semula kepercayaan serta menyokong sistem yang lebih adil dan telus,” katanya.

SF turut menyediakan perkhidmatan sewaan jentera berat elektrik seperti dump truck, prime mover, wheel loader, excavator, dan kenderaan pacuan empat roda (4×4 EV). Perkhidmatan retrofitting juga disediakan bagi menukar jentera diesel kepada elektrik secara berperingkat, selari dengan sasaran pengurangan karbon dalam operasi ladang FELDA.

Inisiatif pembangunan tenaga boleh diperbaharui turut dipergiatkan dengan pemasangan lampu jalan berkuasa solar serta pembinaan ladang solar bersepadu yang disokong oleh sistem BESS, bagi menjamin kestabilan bekalan tenaga bersih khususnya di kawasan luar bandar.

Dari aspek pengurusan sisa, SF melaksanakan pendekatan holistik meliputi penggunaan EV compactor trucks untuk kutipan sisa serta sistem pelupusan terkawal bagi sisa makanan.

“Kerjasama bersama KPF membolehkan pelaksanaan semua inisiatif ini dijalankan secara tersusun dan berkesan, dengan berpandukan prinsip hijau yang sejajar dengan aspirasi nasional,” jelas kenyataan itu lagi.

SF optimis bahawa pendekatan menyeluruh ini akan mempercepat transformasi sektor perladangan ke arah sistem yang lebih cekap, mematuhi piawaian RSPO dan MSPO, serta berdaya saing dari segi ekonomi dan daya tahan terhadap cabaran iklim serta kehendak pasaran global.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah cadang beri pendidikan percuma untuk pelajar lanjut ke IPT milik...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular