Ranau : Penganjuran Sabah MTB Enduro Race 3.0 yang berlangsung selama dua hari di Kilimu Adventure Park, Kampung Kilimu, di sini baru-baru ini berjaya menghimpunkan seramai 87 peserta dari dalam dan luar negara.
Peserta yang menyertai perlumbaan ini termasuklah Malaysia, Brunei, Singapura, New Zealand, dan Indonesia.
Program berprestij anjuran Kelab Belia Lestari Kilimu ini telah dirasmikan Pegawai Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Daerah Ranau Mohd Shafri Samiri.
Acara perlumbaan berbasikal lasak itu menyaksikan pelumba tempatan, Lew Taz Siong dari Sabah terus mendominasi kejuaraan apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan.

Beliau diikuti rapat pelumba dari New Zealand, Benjamin Seek, yang muncul naib juara.
Para pemenang menerima trofi dan wang tunai sebagai ganjaran kemenangan dalam acara ini yang dibahagikan mengikut beberapa kategori kompetitif.
Terdahulu, Mohd Shafri ketika berucap menzahirkan penghargaan kepada penganjur dan menyatakan komitmen KBS untuk terus menyokong penganjuran program seperti ini.

“Program seperti ini bukan sahaja dapat mencungkil bakat sukan ekstrem dalam kalangan belia, malah secara langsung membantu merancakkan ekonomi penduduk kampung melalui aktiviti keusahawanan tempatan,” katanya.

Beliau turut berharap agar penganjuran Sabah MTB Enduro Race dapat diteruskan sebagai acara tahunan yang mampu mengangkat nama Ranau dan Sabah ke peringkat antarabangsa dalam bidang sukan berbasikal ekstrem. – Chronivo